Operator e-hailing jangan terus desak kerajaan: Ka Siong

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberi amaran kepada pengendali perkhidmatan e-hailing agar tidak berterusan mendesak kerajaan.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah banyak memberi kemudahan kepada syarikat e-hailing termasuklah kelonggaran untuk mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

"Saya tidak sedap dengar apabila mereka kata MOT tidak tolong," katanya.

Menurutnya, sekiranya syarikat berkenaan sukar mencari pekerja, masalah tersebut bukan tanggungjawab kementerian.

"Kalau susah cari pekerja, jangan marahkan kita.

"Jangan desak saya untuk kawal selia," katanya," tegasnya dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan melindungi syarikat e-hailing sekiranya berlaku perlanggaran.

"Adalah tidak masuk akal apabila mereka bagi alasan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 menyebabkan tambang naik," katanya.

Ka Siong berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan berhubung kenaikan harga tambang e-hailing tersebut.

"Siasatan sedang dijalankan, sekiranya berlaku pelanggaran, lesen perkhidmatan e-hailing boleh digantung dan ditarik semula," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tambang perkhidmatan e-hailing meningkat hingga 400 peratus pada waktu puncak.

Ia mencetuskan rasa tidak puas hati pengguna serta beberapa pihak lain kerana disifatkan tidak masuk akal sekali gus menggesa campur tangan kerajaan antara lain berkaitan kawal selia harga.

Setakat ini, terdapat 28 syarikat e-hailing yang mempunyai lesen aktif di sekitar Lembah Klang.

Menyentuh mengenai surcaj 200 peratus yang dikenakan, Ka Siong berkata, ia merupakan surcaj maksimum ditetapkan.

"Kalau kita lihat teksi tiada surcaj tetapi tambang asasnya adalah RM1.50 manakala e-hailing pula menetapkan tambang sekitar 70 hingga 90 sen tetapi mempunyai surcaj.

"Syarikat e-hailing perlu bertanggungjawab terhadap rungutan pengguna," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna perlu mengemukakan aduan rasmi kepada kementerian berserta bukti.

"Pengguna juga dinasihati agar membuat pemilihan bersesuaian yang lebih murah sekiranya perlu menggunakan pengangkutan awam," katanya.