Dua faktor punca tambang e-hailing naik

Wee Ka Siong. - Foto Bernama
Wee Ka Siong. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengendali e-hailing (EHO) memberi jaminan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa kini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan pada masa yang sama juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas sedia ada menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Ujar beliau, MOT memandang serius berhubung rungutan orang ramai terhadap kenaikan tambang perkhidmatan pengangkutan awam e-hailing dan telah bertemu dengan EHO bagi menangani isu berkenaan.

“Daripada perbincangan ini, difahamkan terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan tambang e-hailing iaitu penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi yang menyebabkan masa perjalanan lebih lama.

“Gabungan kedua-dua faktor ini telah menjejaskan kualiti perkhidmatan e-hailing. Selain itu, beberapa syarikat e-hailing juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum Covid-19 melanda Malaysia.

“Kekurangan pemandu e-hailing ini secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, fasa peralihan ke endemik yang bermula pada 1 April lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak dalam permintaan perkhidmatan e-hailing.

Menurutnya, tempoh yang sama juga menyaksikan pergerakan orang ramai yang bebas menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian seperti biasa sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular.

“Faktor-faktor ini telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh EHO merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran.

“Ini semua mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lebih 130,000 individu memegang Lesen Vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Jelasnya, angka itu dijangka bertambah apabila institut memandu dan EHO menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu e-hailing bagi 21 EHO dengan lesen aktif di seluruh negara termasuk Lembah Klang.

“Kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna.

“Kami akan terus memantau industri e-hailing untuk memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna,” katanya.