Grab naik harga kerana kurang pemandu

Kenaikan tambang e-hailing berpunca daripada kekurangan pemandu dalam menerima permintaan perjalanan yang tinggi daripada penumpang. Gambar hiasan 123RF
Kenaikan tambang e-hailing berpunca daripada kekurangan pemandu dalam menerima permintaan perjalanan yang tinggi daripada penumpang. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan tambang e-hailing berpunca daripada kekurangan pemandu dalam menerima permintaan perjalanan yang tinggi daripada penumpang.

Grab dalam kenyataan berkata, bilangan rakan kongsi pemandu di platform e-hailing berkenaan sehingga pertengahan Mei tahun ini masih kurang daripada 70 peratus.

Menurut kenyataan tersebut, perubahan dari segi penawaran dan perkhidmatan itu bergantung kepada beberapa faktor.

“Kita sedang mengalami hari-hari awal peralihan ke fasa endemik. Dalam dua tahun yang lalu, ramai rakan kongsi pemandu telah menjadi tidak aktif di platform kami disebabkan kebimbangan Covid-19 dan kekurangan permintaan untuk tumpangan.

“Sementara itu, dengan pemansuhan langkah Covid-19 baru-baru ini, kami telah melihat peningkatan pantas dalam tempahan perjalanan di platform kami.

“Ini ditambah lagi oleh tempoh perayaan baru-baru ini,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Ujarnya, faktor lain adalah prosedur kemasukan pemandu e-hailing baharu bagi memenuhi permintaan yang mendadak.

“Pemandu baharu dikehendaki memenuhi pelbagai keperluan kawal selia, seperti latihan selama enam jam, peperiksaan di sekolah memandu, pemeriksaan kenderaan, pembelian insurans, mengumpul serta menyerahkan dokumen kepada pelbagai agensi kerajaan untuk diproses.

“Akhirnya, kami melihat peningkatan yang besar dalam kesesakan lalu lintas. Ini meningkatkan kos (dalam masa dan bahan api) untuk setiap tumpangan, pada masa yang sama mengurangkan kapasiti berkesan pemandu untuk menyediakan lebih banyak tumpangan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, Grab tidak membuat sebarang perubahan pada struktur tambang dalam perkhidmatannya.

“Grab menggunakan model harga dinamik untuk memastikan penumpang kami mendapat perjalanan apabila mereka memerlukannya dan rakan kongsi pemandu kami diberi pampasan yang adil untuk masa dan usaha mereka.

“Apabila lebih ramai orang menempah perjalanan daripada jumlah pemandu yang ada di sesuatu kawasan, tambang akan ‘meningkat’ atau naik untuk menggalakkan lebih ramai pemandu menuju ke tempat penumpang berada,” jelas kenyataan itu.