Tiga budak perempuan lemas jatuh parit besar

Lokasi parit besar ketiga-tiga mangsa kanak-kanak perempuan lemas di Kampung Bunga Raya, Kapayan, Kota Kinabalu.
Lokasi parit besar ketiga-tiga mangsa kanak-kanak perempuan lemas di Kampung Bunga Raya, Kapayan, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiga kanak-kanak perempuan lemas selepas terjatuh ke dalam parit besar di Kampung Bunga Raya, Kapayan, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, semua mangsa yang tiada pengenalan diri itu berusia lima, 10 dan 12 tahun gagal diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) bahawa tiga kanak-kanak perempuan disyaki lemas akibat terjatuh ke dalam parti besar.

Katanya, berdasarkan keterangan saksi kejadian berlaku di kawasan parit yang agak terpencil dengan jarak 200 meter dari rumah di kampung berkenaan.

"Hasil pemeriksaan ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan keluarga serta tinggal berjiran di kampung itu.

"Ketika kejadian berlaku air pasang dan mereka sedang bermain di tebing parit berkenaan namun salah seorang mangsa tergelincir dan terus jatuh ke dalam parit.

"Dua mangsa lagi bertindak terjun ke parit itu untuk menyelamatkan mangsa pertama namun ketiga-tiga mereka lemas kerana tidak pandai berenang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaidi berkata, kejadian itu disedari seorang remaja lelaki dan bertindak menyelamatkan ketiga-tiga mangsa berkenaan.

"Semua mangsa dibawa ke HQE untuk menerima rawatan namun disahkan telah meninggal dunia," katanya.

Mohd Zaidi berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.