X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Kerajaan perlu lebih terbuka perjelas kes cacar monyet

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Baljit
A
A

GEORGETOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya lebih terbuka berhubung kes jangkitan cacar monyet di negara ini.

Naib Presidennya, Datuk Baljit Singh berkata, tindakan Khairy Jamaluddin ketika ini dilihat seolah-olah Malaysia tidak menghadapi ancaman virus tersebut.

"Persoalannya sekarang, dengan ketidakbukaan menteri terhadap virus tersebut, wajarkah rakyat Malaysia hidup dalam keadaan berjaga-jaga susulan sempadan negara sudah dibuka untuk kemasukan pelancong asing.

"Adakah kerajaan bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) untuk memantau dan memeriksa pelancong luar negara sekiranya virus cacar monyet ini semakin membimbangkan?

"Disebabkan itu, kerajaan dan menteri sepatutnya lebih terbuka dalam menyalurkan perkembangan terkini mengenai virus ini dan bukannya menyembunyikan maklumat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya lebih berhati-hati dengan penjagaan kesihatan dan keadaan ekonomi negara yang belum pulih susulan penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Tambahnya, walaupun pakar kesihatan telah menasihatkan orang ramai yang melancong ke luar negara supaya mengambil vaksin cacar air (yang dikatakan 85 peratus berkesan terhadap cacar monyet), tiada penjelasan atau maklum balas daripada pihak berkuasa sama ada hospital kerajaan atau swasta mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi atau sebaliknya.

"Walaupun dilaporkan penyakit cacar monyet mungkin jarang membawa maut kepada manusia, Malaysia tidak seharusnya membuang masa dalam memperkenalkan langkah berjaga-jaga dan sekatan bagi mengehadkan penularan wabak ini.

"Ini mungkin satu lagi situasi yang bakal menyebabkan negara terkesan selepas Covid-19 dan disebabkan itu, menteri mesti bertindak untuk mengawal kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat mengenai jangkitan virus ini.

"Kerajaan juga perlu sentiasa memeriksa jangkitan dalam kalangan populasi haiwan di negara kita," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum menerima notifikasi berkenaan kes membabitkan individu yang dijangkiti virus cacar monyet di negara ini.

Dalam satu kenyataan, KKM berkata, ini termasuk kes membabitkan kanak-kanak yang didakwa dijangkiti virus cacar monyet seperti dalam mesej berserta gambar yang ditularkan dalam media sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini menjelaskan, risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah kecuali jika seseorang individu itu ada sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti atau kontak langsung dengan pesakitnya.

Beliau berkata, kemungkinan transmisi jangkitan virus itu dari manusia ke manusia adalah terhad.

Media melaporkan wabak cacar monyet direkod di beberapa negara benua Eropah seperti United Kingdom (UK), Sepanyol, Portugal, Belgium, Perancis, Itali dan Jerman, selain Amerika Syarikat (AS), Kanada serta Australia.

Setakat Selasa, lebih 100 kes dilaporkan sama ada yang disahkan mahupun disyaki, kebanyakan jangkitan tidak melaporkan sejarah perjalanan ke negara yang diketahui endemik penyakit itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!