'Pemergian Balakrishnan satu kehilangan besar'

Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa dari kenderaan di lokasi kejadian.
Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa dari kenderaan di lokasi kejadian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemergian Tan Sri S Balakrishnan dalam satu kemalangan jalan raya tengah malam tadi adalah satu kehilangan besar buat masyarakat India di Malaysia, kata beberapa pemimpin dan bekas pemimpin MIC serta kenalannya.

Bekas Pengerusi MIC negeri Datuk M. Asojan berkata, kejadian tidak disangka itu adalah satu berita yang sangat menyedihkan buat mereka.

“Semasa dalam MIC, beliau telah menjawat banyak jawatan termasuk Ketua Bahagian MIC Johor Bahru, Pengerusi MIC Johor dan juga menjadi ahli Majlis Tertinggi MIC.

“Atas kapasiti ini, sumbangan beliau amat tidak terkira dan pemergiannya adalah satu kerugian kepada masyarakat India,” kata Asojan, yang kini Setiausaha Eksekutif MIC kepada Bernama ketika dihubungi.

Sementara itu, anggota Jawatankuasa Pusat MIC (CWC) T. Rajasekaran menyifatkan mendiang Balakrishnan sebagai seorang yang sangat berdedikasi, yang telah menolong banyak orang semasa hayatnya.

"Beliau seorang yang sangat berdedikasi dan pernah menjadi naib presiden parti dan Pengerusi MIC Johor. Dengan jawatan itu mendiang banyak menolong orang lain yang kurang bernasib baik. Beliau seorang ahli perniagaan yang berjaya. Beliau akan dirindui ramai anggota parti.

"Ucapan takziah penuh ikhlas saya ucapkan bagi pihak presiden parti kami Tan Sri SA Vigneswaran, daripada diri saya sendiri dan parti kepada keluarga mendiang,” katanya kepada Bernama.

Bekas Naib Presiden MIC itu bersama tiga lagi individu maut dalam kemalangan di Kilometer 33, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kulai, dekat sini, tengah malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Selain, pemimpin berusia 65 tahun itu, turut maut G. Ravi, 55; A. Ragu, 47 dan V. Vishnukumar, 44.

Dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah malam tadi, kereta jenis Toyota Vellfire yang dinaiki kesemuanya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan sebelum dirempuh lagi oleh sebuah kereta lain dari arah belakang.

Kesemua mereka disahkan maut di tempat kejadian.