Hishammuddin rai atlet ATM, UPNM raih pingat Sukan SEA Hanoi

Hishammuddin (dua dari kiri) bergambar bersama atlet Sukan SEA Hanoi pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Seroja Kem Kementah pada Selasa. - Foto Bernama
Hishammuddin (dua dari kiri) bergambar bersama atlet Sukan SEA Hanoi pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Seroja Kem Kementah pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa meraikan 10 atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada atlet berkenaan atas kejayaan mengharumkan nama negara.

"Semoga kejayaan memenangi pingat ini akan membakar semangat untuk terus mewakili negara dengan cemerlang pada masa akan datang," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat kementeriannya di Kem Kementah di sini pada Selasa.

Hishammuddin turut menghadiahkan challenge coin kepada atlet tersebut.

Pada temasya sukan itu, atlet ATM berjaya membawa pulang dua pingat emas, lima perak dan lapan gangsa, manakala atlet UPNM meraih empat emas dan satu gangsa.

Pada majlis berkenaan, Hishammuddin turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kakitangan, veteran, ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) dan pelajar pusat Maahad Tahfiz di Taman Keramat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan. - Bernama