X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

'Mungkin terpaksa guna ikan, ganti ayam'

Muhammad Zaidi (kanan) mungkin terpaksa menggantikan ayam dengan ikan bagi nasi kukus yang dijual jika bekalan ayam sukar diperoleh.
A
A

IPOH - Susulan kekurangan bekalan ayam di pasaran, peniaga yang menggunakan ayam sebagai bahan utama terpaksa memikirkan strategi lain untuk menggantikan daging itu jika masalah berlarutan.

Bagi seorang peniaga nasi kukus ayam berempah, Muhammad Zaidi Nordin, 37, setakat ini pihaknya belum menghadapi masalah bekalan ayam.

Katanya, pembekal masih boleh memenuhi permintaan namun mereka memberi bayangan mungkin akan berlaku kekurangan ayam di pasaran.

"Jadi kami terpaksa fikirkan alternatif lain. Mungkin gantikan ikan dengan ayam sebab masa bulan Ramadan lalu kita dah cuba buat dan jualan agak baik," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di gerainya di Bandar Meru Raya di sini pada Ahad.

Muhammad Zaidi berkata, sepanjang tujuh tahun meniaga nasi kukus ayam berempah di kawasan itu, belum pernah berlaku ketiadaan bekalan ayam tetapi kenaikan harga memang dirasai ketara.

Sementara itu, pengasas francais Muiz Hot Chicken, Muhammad Muizzuddin Remle, 29, berkata, bekalan ayam yang diperlukan untuk memenuhi permintaan usahawan francaisnya memang tidak mencukupi ketika ini.

Menurutnya, sebanyak tiga hingga empat tan ayam sehari diperlukan untuk produk ayam goreng keluaran Muiz Hot Chicken di seluruh negara.

Mohd Azizi mungkin terpaksa menghentikan sementara jualan sate ayam jika bekalan isi ayam untuk dibuat produk tersebut sukar diperoleh.
Mohd Azizi mungkin terpaksa menghentikan sementara jualan sate ayam jika bekalan isi ayam untuk dibuat produk tersebut sukar diperoleh.

"Sebagai mengatasi masalah kekurangan bekalan ini, kita terpaksa mendapatkan ayam daripada pelbagai pembekal untuk tampung permintaan.

"Disebabkan kekurangan ayam ini juga, pembekal telah menaikkan harga daripada RM8.90 kepada RM11.30 sekilogram," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Muizzuddin menggesa kerajaan membawa masuk ayam import daripada Thailand dan Brazil bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan itu sekali gus menstabilkan harga ayam di negara ini.

Sementara itu, bagi peniaga sate, Mohd Azizi Abu Hassan, 37, bekalan isi ayam untuk membuat produk itu semakin sukar diperoleh sejak Sabtu.

Menurutnya, bekalan yang biasa diambil di Teluk Intan sudah tidak dapat memenuhi permintaan.

Dia terpaksa ke Ipoh untuk mendapatkan bekalan tetapi dengan harga lebih tinggi daripada sebelum ini.

"Pembekal bagi tahu memang stok tak cukup. Mujur ada di Ipoh, tapi harga mahal sikit daripada sebelum ini.

"Kalau bekalan terus berkurangan, mungkin terpaksa berhenti buat sate," katanya yang menjalankan perniagaan di Bagan Datuk.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!