Jangan risau, tepung gandum masih ada

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

“DENGAN keadaan sekarang, RM50 boleh beli apa? Harga sarapan pagi seperti kuih donut, tepung pelita, kuih lapis dan lain-lain pun dah cecah sehingga 50 sen satu jenis!”

Kalau lima tahun lepas, satu plastik dah boleh beli macam-macam tapi sekarang nak dapat tiga empat barang bersamaan RM50 pun susah.

Apa dah jadi ni? Bukan itu sahaja, barangan asas terutama tepung gandum pun dikatakan dah habis.

Bahan serbaguna ini bukan sahaja digunakan dalam pembuatan kek dan biskut, tetapi juga makanan lain seperti cucur, lempeng dan kuih-muih. Ia boleh digunakan untuk menghilangkan bau hamis pada ayam dan daging.

Sejak berlaku peperangan antara Rusia-Ukraine, bekalan gandum daripada negara terbabit dihentikan serta-merta untuk proses pengeksportan ke seluruh negara termasuk Malaysia.

Negara tersebut merupakan pengeluar gandum terbesar yang membekalkan hampir satu per tiga daripada perdagangan gandum dunia.

Bagaimanapun, kedua-dua negara yang sedang bergolak serta krisis pertelingkahan politik mengundang kepada ketidakcukupan sumber bekalan makanan dunia.

Malah, negara India turut menghentikan eksport gandum berkuatkuasa bermula 13 Mei lalu dalam usaha meningkatkan keselamatan bekalan makanan kepada penduduk mereka.

Adakah Malaysia masih mempunyai sinar dalam membekalkan gandum? Ya! Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), negara kita mengimport sekurang-kurangnya 80 peratus biji gandum dari Australia dan selebihnya dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

“Justeru larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik tidak menjejaskan bekalan tepung gandum negara,” menurut KPDNHEP dalam ciapan di Twitter pada Selasa lepas.

Tambahan pula, kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran tempatan yang terjejas ketika ini disebabkan jenama tertentu yang mendapat permintaan luar biasa dek perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dan bukan disebabkan tindakan India menyekat eksport gandum ke pasaran global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, negara hanya mengimport 15 peratus bekalan gandum dari India, Amerika Syarikat dan Ukraine manakala selebihnya adalah dari Australia.

“Kalau ada gangguan bekalan mungkin sebab permintaan tinggi bagi sesuatu jenama dan disebabkan itu ia cepat habis.

“Buat masa ini, kita tidak kesan lagi kekurangan gandum di pasaran, kita tidak terima aduan secara langsung kepada KPDNHEP,” katanya.

Selain itu, baru-baru ini, Pasaraya Econsave mengalami kekurangan antara 20 hingga 30 peratus bekalan tepung gandum bersubsidi di semua 87 cawangannya seluruh negara.

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, kekurangan tersebut disebabkan pembekal tidak dapat menghantar bekalan secukupnya disebabkan cuti panjang sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Pembekal juga mengalami masalah ketiadaan bekalan tepung gandum sejak awal Mei lalu dan negara kita tidak mengimport tepung dari India namun bekalan tepung gandum terjejas.

“Kita mengimport bekalan tepung gandum kira-kira 80 peratus dari Australia dan hanya sedikit dari Ukraine, sepatutnya kita tidak mempunyai masalah dengan bekalan tepung gandum,” ujarnya.

Jelasnya, setakat ini hanya terdapat bekalan untuk tepung gandum tidak bersubsidi di pasar raya tersebut dengan harga RM3.05 satu paket sementara jenama tepung gandum bersubsidi makin sukar diperoleh.

Penulis berharap agar rakyat Malaysia kekal bertenang kerana bekalan gandum masih mencukupi walaupun banyak negara terpaksa menyekat pengeluarannya.

Pihak peniaga juga tidak wajar bersikap terlalu kapitalis dalam menjual barangan asas terutama tepung gandum dengan mengenakan harga yang melampau.

Janganlah tambah beban sesudah terjejas akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun, musibah banjir besar tahun lepas dan kini krisis kenaikan harga barang yang makin meruncing ketika ini.

* Aslam Husaini Malik Faizal ialah Penolong Penerbit Digital Sinar Harian