IPD Perak Tengah rangkul anugerah

Mohamad Zainal (tujuh kiri) bergambar bersama pegawai dan anggotanya bersama sijil dan hadiah yang dimenangi mereka.
Mohamad Zainal (tujuh kiri) bergambar bersama pegawai dan anggotanya bersama sijil dan hadiah yang dimenangi mereka.
A
A
A

PARIT - Kerjasama baik di kalangan penghuni kediaman Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah membolehkan mereka merangkul Anugerah Pengurusan Kediaman Terbaik 2018 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejayaan mereka muncul johan perumahan polis terbaik seluruh negara turut disumbangkan oleh ahli jawatankuasa perumahan tersebut yang sama-sama berganding bahu dalam memastikan kawasan kediaman berkenaan sentiasa bersih dan selamat.

"Perumahan di IPD Perak Tengah ini merupakan satu-satunya kawasan perumahan polis di negara ini yang diliputi kamera litar tertutup (CCTV) dan ini merupakan usaha kita dalam memberi persekitaran selamat kepada warga polis di sini.

"Malah hubungan baik dan sikap saling kerjasama yang diterapkan kepada mereka juga telah mewujudkan suasana harmoni kepada penghuni di perumahan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Mohamad Zainal, pihaknya turut menerima sokongan penuh dan suntikan semangat daripada Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Hussain yang sentiasa memberi galakan terhadap usaha yang dilakukan.

"Untuk pengetahuan, sejak saya dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Perak Tengah pada Februari 2017, saya sudah menanamkan azam pada setiap pegawai dan anggota untuk berjaya dalam setiap pertandingan disertai.

"Kami memang komited untuk juara dan kemenangan ini adalah hasil kerjasama semua. Walaupun IPD Perak Tengah bukan IPD yang besar, tetapi kami mahu buktikan boleh menjadi yang terbaik," katanya.

Kemenangan bagi kategori B itu membolehkan IPD Perak Tengah menerima plak kemenangan dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sambutan Hari Peringatan Polis Ke-212 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Artikel Berkaitan: