Harimau Muda terlepas gangsa

Antara aksi Harimau Muda pada perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Indonesia di Stadium Nasional My Dinh sebentar tadi. - Foto FB FAM
Antara aksi Harimau Muda pada perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Indonesia di Stadium Nasional My Dinh sebentar tadi. - Foto FB FAM
A
A
A

HASRAT skuad Bawah-23 (B-23) untuk meraih pingat gangsa Sukan SEA Hanoi 2021 tidak kesampaian apabila tewas 3-4 kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada aksi di Stadium Nasional My Dinh sebentar tadi, Harimau Muda kendalian Brad Maloney turun tanpa beberapa tonggak utama termasuk penjaga gol, Azri Abd Ghani yang mengalami kecederaan ketika tewas 0-1 menentang Vietnam tempoh hari.

Pada awal permainan, Indonesia dilihat lebih agresif dengan melancarkan beberapa siri serangan namun penjaga gol Malaysia, Muhammad Rahadiazli Rahalim bertindak cemerlang menafikan beberapa cubaan tersebut.

Skuad Malaysia berpeluang untuk memimpin perlawanan, pada minit ke-20 namun rembatan kaki kiri Safwan Mazlan itu berjaya dihalang oleh pertahanan Indonesia.

Pemain kelahiran Terengganu itu sekali lagi mendapat peluang untuk letak Harimau Muda di hadapan namun gagal menanduk kemas hantaran lintang cantik yang dilakukan pertahanan kiri Malaysia, Quentin Cheng.

Memasuki babak terakhir separuh masa pertama, gawang Indonesia hampir-hampir apabila situasi kelam kabut berlaku dalam kotak penalti pasukan garuda, namun penyerang negara Azfar Fikri melewati palang gol lawan sekaligus kedudukan 0-0 kekal hingga tamat wisel separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Maloney melakukan beberapa perubahan dalam pasukan dengan memasukkan Luqman Hakim Shamsudin, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Hairey Hakim Mamat pada awal babak kedua.

Percaturan itu nyata mendatangkan bahaya kepada Indonesia apabila melakukan percuban-percubaan kearah gawang lawan, namun kekebalan benteng pertahanan menyaksikan tiada sebarang gol berjaya dicipta.

Keasyikan Malaysia untuk mencari gol pendahuluan akhirnya dihukum apabila Indonesia sebaliknya berjaya mendapatkan jaringan pembukaan pada minit ke-68 menerusi penyerangnya, Ronaldo Joybera.

Tersentak dengan gol itu, skuad kebangsaan cuba memperkemaskan corak permainan dan akhirnya berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi pemain gantian, Hadi Fayyadh pada minit ke-81 yang merembat padu menewaskan penjaga gol Indonesia, Ernando Ari Sutaryadi sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Penentuan sepakan penalti menyaksikan dua tonggak serangan negara, Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim gagal menyempurnakan sepakan tersebut.

Pemain tengah Indonesia, Marc Anthony Klok berjaya menyempurnakan sepakan penalti terakhir buat Indonesia sekaligus menghadiahkan pingat gangsa buat pasukan Garuda.