'Kukuhkan Bahasa Melayu, jangan sampai Bahasa Inggeris lemah'

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengukuhan penggunaan Bahasa Melayu dalam negara ini boleh dilakukan tetapi ia seharusnya tidak menyebabkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan graduan Melayu menurun.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menjelaskan, perkara seperti ini pernah berlaku sebelum ini.

“Saya perhatikan apabila kita melaksanakan dasar pelajaran kebangsaan, semua sekolah menengah dan universiti mengajar dalam Bahasa Melayu, tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan graduan undang-undang Bangsa Melayu dari universiti-universiti dalam negara turun mendadak.

“Ini menyukarkan mereka mendapat pekerjaan dalam firma-firma undang-undang yang besar-besar atau syarikat-syarikat multi-nasional.

“Pemimpin-pemimpin politik dan pegawai-pegawai kerajaan juga menjadi mangsa dasar ini hingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bertajuk ‘Bahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-Undang’ di Balai Budaya Tun Syed Nasir, berlangsung secara maya di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) di sini pada Ahad.

Abdul Hamid menambah, tidak mahu merugikan orang Melayu sekiranya pengukuhan Bahasa Melayu dilaksana pada masa sama Bahasa Inggeris graduan menjadi lemah.

Dalam pada itu, tambahnya, syarat pelantikan dalam jawatan hakim di seluruh Malaysia perlu diperketat dengan menetapkan mereka boleh menulis alasan penghakiman yang baik dalam Bahasa Melayu.

“Kita tidak perlu menyasarkan 100 peratus penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah. Itu tidak realistik, terutama sekali di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Penghujahan undang-undang adalah lebih mudah dilakukan dalam Bahasa Inggeris disebabkan penghakiman-penghakiman dari dalam dan luar negara yang dipetik ditulis dalam Bahasa Inggeris, dalam kes-kes perdagangan, dokumen-dokumen keterangan adalah dalam Bahasa Inggeris.

“Demikian juga adalah lebih mudah dan cepat menulis penghakiman dalam Bahasa Inggeris. Penghakiman dalam Bahasa Inggeris juga mendapat liputan penyiaran dan pembacaan yang lebih luas," ujarnya.

Abdul Hamid turut membuat anggaran kasar peratusan penggunaan Bahasa Melayu dalam mahkamah di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Di Semenanjung Tanah Melayu, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen sebanyak 95 peratus, Mahkamah Tinggi adalah 70 peratus, Mahkamah Rayuan sebanyak 10 peratus dan di Mahkamah Persekutuan lima peratus,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi Mahkamah Majistret di Sabah dan Sarawak, penggunaan Bahasa Melayu dianggarkan 10 peratus, Mahkamah Sesyen lima peratus dan Mahkamah Tinggi sifar peratus.

“Kedudukan di Sabah dan Sarawak perlu dibaiki. Masalah utama di sana adalah sikap,” jelasnya.