23 pemandu mabuk ditahan

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur melaksanakan operasi di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga Ahad.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur melaksanakan operasi di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 23 individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam operasi dijalankan di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua lelaki berusia 23 hingga 68 tahun itu dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, operasi yang diadakan sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu melibatkan 14 pegawai dan 89 anggota JSPT Kuala Lumpur.

"Operasi itu juga menahan lapan remaja lelaki berusia 16 hingga 19 tahun kerana melakukan aksi berbahaya seperti zig zag, roket, superman serta bersaing.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sarifudin berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Kita juga menahan seorang lelaki berusia 33 tahun kerana menunggang motosikal disyaki dicuri, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, tambah Sarifudin, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 20 tahun serta merampas satu paket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki dadah.

"Suspek telah dibawa ke IPD Dang Wangi dan akan dituduh kerana memiliki 0.86 gram kanabis (ganja) di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan turut dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan iaitu dadah jenis THC," katanya.

Sarifudin berkata, secara keseluruhan sebanyak 435 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 13 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Menurut Sarifudin, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.