'Jangan gentar cabaran pasukan lain'

Shahrul bersama pemain Harimau Malaya lain giat menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Shahrul bersama pemain Harimau Malaya lain giat menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
A
A
A

TONGGAK pertahanan Shahrul Mohd Saad tekad meneruskan semangat dimiliki ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi cemerlang pada Liga Juara-Juara Asia (ACL), ke dalam skuad Harimau Malaya menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2023 bulan depan.

Shahrul yang menuntut rakan sepasukan agar tidak gentar dengan cabaran pasukan lain dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 itu percaya, tidak mustahil Harimau Malaya mampu melakar kejutan seperti mana JDT yang mengatasi beberapa pasukan ternama untuk melakar sejarah sebagai kelab pertama Malaysia mara ke pusingan 16 terakhir ACL.

"Secara peribadi bagi saya sendiri ia (kejayaan JDT di ACL) satu pengalaman yang tak dapat saya gambarkan untuk bersama kelab dan sememangnya satu pencapaian terbaik dalam karier saya.

"Saya harap dapat kongsi pengalaman dengan rakan sepasukan lain dan beri komitmen sama kepada skuad kebangsaan, seterusnya dapat berikan persembahan terbaik dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Shahrul atau lebih dikenali ‘Badak’ pada masa sama yakin Malaysia mempunyai peluang cerah untuk layak ke Piala Asia 2023 memandangkan mereka mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri sepanjang pusingan kelayakan itu nanti.

"Saya harap kita dapat guna peluang ini sehabis baik untuk dapatkan kemenangan kerana selain beraksi di laman sendiri, pasukan lain juga mungkin sukar untuk sesuaikan diri dengan keadaan padang dan cuaca di sini,” tambahnya.

Dalam pada itu, pemain tengah Muhamad Nazmi Faiz Mansor optimis kehadiran ramai penyokong ke Stadium Nasional Bukit Jalil mampu membakar semangat rakan sepasukan untuk menjelmakan aksi terbaik di atas padang dalam pusingan kelayakan berkenaan.

"Peluang ini tak akan dapat lagi di masa depan, jadi saya harap semua pemain beri komitmen 100 peratus untuk kita mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023,” katanya.

Skuad Harimau Malaysia dijadual bertemu Brunei (27 Mei) dan Hong Kong (1 Jun) sebagai aksi persahabatan pemanas badan, sebelum menyertai Kelayakan Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dari 8 hingga 14 Jun.

Harimau Malaya akan berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023 itu. - Bernama