ISTAF perkenal regu campuran satu lelaki, dua wanita

Pemain sepak takraw wanita kebangsaan Nur Asmidi Rambli melakukan rejaman ketika menentang pasukan Thailand pada acara Quadrant Wanita peringkat kumpulan pada Sukan SEA ke-31 di Pusat Sukan Hoang Mai pada Jumaat. - Foto Bernama (Gambar kecil: Abdul Halim)
Pemain sepak takraw wanita kebangsaan Nur Asmidi Rambli melakukan rejaman ketika menentang pasukan Thailand pada acara Quadrant Wanita peringkat kumpulan pada Sukan SEA ke-31 di Pusat Sukan Hoang Mai pada Jumaat. - Foto Bernama (Gambar kecil: Abdul Halim)
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Antarabangsa (ISTFA) menetapkan acara baharu campuran akan melibatkan seorang pemain lelaki dan dua pemain wanita bagi antara regu manakala jantina dua pemain simpanan acara itu bergantung kepada strategi jurulatih masing-masing

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, acara baharu campuran antara regu itu akan diperkenalkan pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok dari 23 hingga 31 Julai depan.

Beliau berkata, pemain lelaki dan wanita bebas bermain di posisi pilihan masing-masing dalam acara antara regu sama ada tekong, apit kanan atau apit kiri.

"Tiada larangan tertentu untuk mana-mana pemain melakukan rejaman, tampanan dan servis bagi acara campuran ini. Hanya pertukaran pemain dihadkan kepada sesama jantina," katanya ketika ditemui di Gimnasium Hoang Mai di sini, sempena Sukan SEA Hanoi 2021.

Abdul Halim bagaimanapun berkata, badan induk sepak takraw antarabangsa itu membuat sedikit pindaan pada peraturan permainan berhubung peralatan digunakan bagi acara baharu tersebut.

"Bola sepak takraw dalam acara ini mestilah digunakan bagi kategori wanita iaitu 160 gram namun paras ketinggian jaring yang direntang ialah seperti kategori lelaki, 1.55 meter di tiang dan 1.52 meter di tengah," katanya.

Beliau berkata, ISTAF juga memutuskan untuk memperkenal acara baharu campuran dalam kuadran (berempat) pada saingan Piala Raja Thailand itu dengan dua pemain lelaki dan dua pemain wanita di dalam gelanggang manakala dua simpanan perlu terdiri daripada kedua-dua jantina.

Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berkata, setiap negara hanya layak menyertai satu daripada antara regu campuran atau kuadran campuran yang dipertandingkan pada Piala Raja Thailand itu.

Sementara itu, beliau berkata, regu berpasukan campuran sepak takraw akan membuat penampilan sulung pada Sukan Dalam Dewan dan Seni Tempur Asia Keenam di Bangkok dan Chonburi dari 17 hingga 26 November tahun depan.- Bernama