JDT panggil semula Syafiq tertakluk dalam perjanjian

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
A
A
A

TINDAKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) memanggil semula penyerangnya, Syafiq Ahmad untuk kembali menyertai pasukan Harimau Selatan bukan perkara luar biasa.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berdasarkan perjanjian, pasukan asal boleh mengambil semula pemain yang dipinjamkan pada bila-bila masa.

Menurutnya, ia tertakluk pada perkara bawah 2.1 (2) yang dimeterai antara dua pasukan berkenaan dan bukanlah menjadi suatu kesalahan.

“Mereka menggunakan kelas itulah untuk ambil balik Syafiq. Tak ada siapa boleh halang. Sebab apa pula saya yang dipersalahkan atas tindakan JDT itu, saya ada buat salah apa?,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi mengulas dakwaan dan kecaman netizen yang mengaitkan penarikan semula Syafiq oleh JDT yang beberapa bulan dipinjamkan ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC), adalah berpunca daripada kenyataan beliau berhubung isu tokong.

Tegas beliau, ketiadaan Syafiq tidak akan menjejaskan persiapan pasukan untuk berdepan saingan liga memandangkan musim perpindahan akan bermula pada hujung bulan ini.

“Ramai lagi pemain lain yang bagus, kita tengoklah siapa yang akan ganti kelak. Kita carilah pemain yang baik-baik.

“Saya sedang anjur Liga Bola Sepak Menteri Besar seluruh daerah. Saya yakin ratusan pemain akan dilahirkan daripada liga tersebut. Tak perlu risau mengenai ketandusan pemain, kerana ramai anak Kedah yang dieksport keluar, dilatih di Kedah malah bakatnya dicungkil di Kedah,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Kedah telah memainkan peranan dengan baik umpama ‘kilang’ yang melahirkan pemain-pemain berkualiti.

“Ada pasukan selatan pun ambil pemain Kedah, dua hingga tiga orang. Apa yang nak dihairankan?” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, KDA FC juga tidak berhasrat untuk membeli Syafiq dan terus kekal dalam pasukan itu, sebaliknya pemilihan pemain gantian akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Tak payahlah sampai nak beli pemain. Banyak lagi pemain lain yang tidak kurang hebatnya,” ujarnya.

Pada Jumaat, laman Facebook Johor Southern Tigers melaporkan JDT akan memanggil semula Syafiq daripada pinjamannya di KDA FC.

Bagaimanapun kelab tersebut tidak menjelaskan punca mengapa Syafiq dipanggil semula.

Sehari sebelum itu, Muhammad Sanusi dedahkan kewujudan ‘tokong’ dalam arena bola sepak hanya akan menjejaskan mutu bola sepak negara selain menyebabkan persaingan tidak sihat.

Beliau mendakwa, kewujudan 'tokong' memberi kesan kepada mana-mana pasukan untuk bermain secara adil dan bersih ketika beraksi.

Menurutnya, bola sepak adalah sukan untuk semua, bukannya dikawal oleh individu sehingga menyebabkan adanya situasi yang memerlukan persetujuan daripada 'tokong' terbabit.