Sila log masuk terlebih dahulu.

TDM galak anggota lanjut pengajian

Zamrose (kanan) menyampaikan piala kepada perajurit muda Keseluruhan Terbaik, Mohamad Nor Farhan Mahzal pada acara Perbarisan Tamat Perajurit Muda Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21 di PUSASDA pada Sabtu. - Foto Bernama
Zamrose (kanan) menyampaikan piala kepada perajurit muda Keseluruhan Terbaik, Mohamad Nor Farhan Mahzal pada acara Perbarisan Tamat Perajurit Muda Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21 di PUSASDA pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Tentera Darat Malaysia (TDM) menggalakkan agar lebih ramai anggotanya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau berkata, dengan syarat minimum kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), TDM sentiasa membuka peluang kepada warganya meningkatkan taraf pendidikan demi masa depan mereka.

"Anggota TDM yang masuk dengan kelulusan SPM dan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma serta ijazah sarjana muda, mereka boleh menyambung pelajaran secara sepenuh masa atau pendidikan jarak jauh (PJJ) di institut pengajian tinggi di negara ini.

"Kita tidak mahu anak-anak muda ini ketinggalan dan TDM akan membantu mereka meningkatkan pendidikan serta kemahiran masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TDM Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21 di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau berkata, sebahagian perajurit muda kali ini memiliki sijil diploma dan ijazah dan TDM akan memastikan mereka diletakkan dalam kor bersesuaian bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.

Katanya, sebagai contoh, anggota yang mempunyai sijil diploma kejuruteraan akan dipastikan berada dalam Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja.

Selain itu Zamrose berkata, TDM menerima ribuan permohonan setiap tahun, sekali gus menunjukkan masih ramai warga tempatan berminat memilih tentera sebagai kerjaya.

Dalam majlis ini, seramai 2,234 anggota TDM lelaki dan 263 anggota wanita menamatkan latihan asas ketenteraan selepas menjalani latihan selama enam bulan bermula pada 26 Novmber tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Buat pertama kali selepas dua tahun tanpa kehadiran pengunjung akibat pandemik Covid-19, perbarisan tamat latihan pada tahun ini dimeriahkan dengan kehadiran hampir 6,000 pengunjung terdiri daripada ahli keluarga anggota dan orang awam.

Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik dirangkul Mohamad Nor Farhan Mahzal, 22, dari Segamat, Johor manakala Perajurit Muda Akademik Terbaik dianugerahkan kepada Nelson Ovinver Jemis, 22, dari Ranau, Sabah.

Edison, 20, dari Keningau, Sabah menerima anugerah Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik dan Perajurit Muda Kawad Terbaik menjadi milik Aiman Ruzzaini Romzi, 20, dari Alor Setar, Kedah.

Perajurit Muda Ketenteraan Terbaik pula diraih Muhamad Aminur Rasyid Mat Radzi, 25, dari Ipoh, Perak.

Sementara itu bagi anggota wanita, Anugerah Perajurit Muda Wanita Terbaik dianugerahkan kepada Syafiqah Liyana Mohd Noor, 22, dari Kuala Nerus, Terengganu manakala Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik diraih Nur Nazwa Herman, 22, dari Tawau, Sabah.

Nur Farah Huda Azman, 24, dari Ipoh, Perak pula merangkul anugerah Perajurit Muda Akademik Terbaik. - Bernama