X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Remaja penghidap kanser, Irfan Mikail meninggal dunia

Muhammad Irfan Mikael (duduk) ketika dibawa meninjau pesawat Hawk 108 dan F18 Hornet.
A
A

SHAH ALAM - Remaja menghidap kanser Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) tahap akhir, Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri, 15, menghembuskan nafas terakhirnya tengah malam Jumaat.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan,) Maznah Tayib menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurutnya, Allahyarham Muhammad Irfan Mikail yang disahkan menghidap penyakit itu sejak 2021 meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam di rumahnya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis.

“Telah pulang seorang wira kanser kepada Maha Pencipta sebentar tadi, Muhammad Irfan Mikael Mohd Syukri telah menghembuskan nafas terakhir tepat jam 12.30 malam di kediaman keluarganya di Guar Syed Alwi kangar Perlis.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan para syuhada. Salam takziah kepada Puan Mazatul Rohana sekeluarga. Kami simpan di sini kenangan bersama anak kanser Irfan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan hasrat remaja berkenaan yang bercita-cita mahu menjadi juruterbang bagi menaiki pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pada Rabu, impiannya direalisasikan TUDM oleh No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dengan bantuan Kolej Tentera Udara yang mengkoordinasi bersama pihak Foccan.

Pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TUDM Bersama Rakyat, Muhammad Irfan Mikael diberi peluang memakai sut juruterbang dengan pangkat 'Leftenan' berserta tag nama selain didedahkan dengan tugas-tugas seorang juruterbang pesawat pejuang.

Muhammad Irfan Mikail yang diiringi Pegawai Eksekutif PU Butterworth, Kolonel Engku Faizal dan Pegawai Memerintah 15 Skn, Leftenan Kolonel Hafiz dibawa melihat pesawat Hawk 108 dan F18 Hornet.

Selain itu, Allahyarham juga diberi peluang mengendalikan pesawat simulator F18 Hornet.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!