Pendaki hanyut: Tiada petunjuk baharu

Anggota bomba menjalankan operasi di sektor E bagi mengesan mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Gunung Suku, Simpang Pulai. - Foto ihsan Bomba Perak
Anggota bomba menjalankan operasi di sektor E bagi mengesan mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Gunung Suku, Simpang Pulai. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Pencarian 69 anggota penyelamat dalam operasi mengesan dua wanita yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, gagal menemukan sebarang petunjuk.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, operasi yang memasuki hari keenam dibahagikan kepada lima sektor di sepanjang aliran air di kawasan terbabit.

"Buat masa ini, tiada petunjuk baharu meskipun pasukan penyelamat membuat pencarian berulang di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sektor A melibatkan lokasi bahagian badan mangsa ditemukan dalam operasi yang bermula sejak Ahad lalu.

"Sektor B pula melibatkan terowong air ke air terjun tujuh tingkat manakala sektor C di kawasan terowong air yang mana jengkaut digunakan untuk melancarkan operasi kali ini.

Jengkaut digunakan untuk mencari mangsa-mangsa yang hilang di Gunung Suku. - Foto ihsan Bomba Perak
Jengkaut digunakan untuk mencari mangsa-mangsa yang hilang di Gunung Suku. - Foto ihsan Bomba Perak

"Bagi sektor D pula melibatkan pencarian di kawasan terowong dan ke bawah manakala sektor E merupakan kawasan takungan air," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pelbagai agensi antaranya bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia, Sapura, Syarikat Belati Wangsa dan Jabatan Kerja Raya.

Media melaporkan pasukan penyelamat menemui anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita berkenaan.

Bahagian kaki kiri itu ditemui kira-kira jam 5.05 petang pada Ahad manakala separuh badan bahagian manusia dijumpai dalam timbunan tanah kira-kira jam 10.20 pagi Isnin.

Dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew,46, dilaporkan dikhuatiri dihanyutkan kepala air ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku.