X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Guna Kasturi, Cheri pindahkan gajah jantan

Dua gajah denak digunakan oleh PKGK Kuala Gandah untuk memindahkan gajah jantan (tengah) di Kampung Gol di Jerantut. - Foto ihsan PKGK Kuala Gandah
A
A

JERANTUT - Kegusaran penduduk Kampung Gol di sini berakhir selepas Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang berjaya memindahkan seekor gajah jantan dewasa di kampung tersebut pada Khamis.

Haiwan dianggarkan berusia 20 hingga 30 tahun itu sebelum ini ditemui berkeliaran dalam kampung terbabit kira-kira seminggu lalu.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, operasi menangkap gajah dewasa itu dilakukan sejak 17 Mei lalu selepas menerima aduan penduduk kampung tersebut.

Menurutnya, dua gajah denak Kasturi dan Cheri digunakan untuk menarik gajah jantan berkenaan sejauh 40 meter sebelum dipindahkan ke atas lori.

"Operasi memindahkan gajah liar terbabit disertai 26 kakitangan PKGK Kuala Gandah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Taman Negara Pahang dan Bahagian Konservasi Ex-Situ dan mengambil masa kira-kira enam jam bermula jam 8.30 pagi serta berjalan lancar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya lagi, kejayaan menangkap dan memindahkan gajah liar berkenaan diharap dapat menyelesaikan konflik antara haiwan liar terbabit dengan masyarakat setempat hingga meresahkan penduduk.

Jelasnya, haiwan liar itu dipindahkan ke habitat asal di Taman Negeri Terengganu.

"Kita memasang mikrocip dan membuat pengukuran morfologi pada gajah jantan bagi tujuan penandaan dan rekod," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sepanjang tempoh lima bulan, PKGK Kuala Gandah telah memindahkan 16 gajah liar di Johor, Kelantan, Perak, Terengganu Kedah dan Pahang sendiri.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!