Pemimpin PH, pembangkang anggap Tun M bukan diktator

 Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pemimpin PH dan pembangkang yang pernah bekerja di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa Perdana Menteri itu bukanlah seorang diktator seperti didakwa, sebaliknya beliau memiliki nilai toleransi yang tinggi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, Dr Mahathir seorang pemimpin yang berpandangan jauh dalam meneliti setiap permasalahan.

“Saya fikir Dr Mahathir melihat tentang permasalahan-permasalahan apa yang harus diberikan keutamaan, jadi bagi saya ini satu yang sangat adil.

“Kalau diktator, beliau akan buat keputusan sesuka hati sahaja. Saya lihat banyak idea daripada anggota jemaah menteri yang dibawa oleh kementerian masing-masing, beliau tak ada masalah termasuk dengan pelantikan-pelantikan kepada cadangan-cadangan yang dibuat oleh menteri-menteri, beliau tiada masalah.

“Jika kata beliau seorang diktator tentunya, Dr Mahathir akan lantik orang-orang yang hanya dimahukannya bukannya mendengar syor dan cadangan yang dikemukakan oleh jemaah menteri,” katanya kepada Sinar Harian. Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah mengakui, Pengerusi PH itu sangat komited dan mempunyai keazaman politik yang tinggi untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto PH pada PRU14.

Mahfuz Omar, Shahidan Kassim
Mahfuz Omar, Shahidan Kassim

“Kami pimpinan kerajaan memberi jaminan akan terus dedikasi melaksanakan semua janji dalam tempoh yang munasabah.

“Walaupun ada banyak benda yang belum dibuat tetapi ada banyak juga benda yang sudah dibuat namun, apabila ekonomi dan negara berada di landasan yang betul INSYA-ALLAH apa yang dijanjikan dapat disempurnakan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja pemimpin BN, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang pernah memegang jawatan Menteri Besar Perlis sejak 1995 sehingga Mac 2008 menyatakan Dr Mahathir seorang yang tegas dan bukannya seorang diktator seperti dilabel.

“Beliau tegas sebagai Perdana Menteri. Bagi pandangan saya, Dr Mahathir ini seorang yang tegas tetapi beliau memberi tolak ansur yang tinggi.

“Jika ada apa-apa kes atau kalau diminta untuk buat perubahan, beliau setuju untuk buat perubahan. Kalau diktator sudah tentu beliau tidak setuju, sebaliknya Dr Mahathir sedia untuk buat perubahan,” katanya.