Sukan SEA Hanoi: Skuad takraw raih perak acara beregu

Skuad sepak takraw negara meraih pingat perak dalam acara beregu lelaki pada aksi final di Gimnasium Hoang Mai di Hanoi pada Khamis. Foto PSM
Skuad sepak takraw negara meraih pingat perak dalam acara beregu lelaki pada aksi final di Gimnasium Hoang Mai di Hanoi pada Khamis. Foto PSM
A
A
A

SKUAD sepak takraw negara terus kempunan meraih pingat emas pertama acara beregu lelaki apabila tumpas 1-2 kepada Indonesia pada aksi final di Gimnasium Hoang Mai di Hanoi pada Khamis.

Tanpa penyertaan jaguh dunia Thailand, selain kejayaan menjinakkan lawan yang sama pada aksi peringkat kumpulan pada Rabu, pasukan negara dilihat berpeluang cerah mencipta sejarah membawa pulang pingat emas dalam acara tersebut yang mula diperkenal pada edisi Filipina 2005.

Membariskan Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin serta Muhammad Afifudin Mohd Razali sebagai pemain simpanan, skuad negara gagal memanfaatkan peluang terbaik itu untuk mengatasi cabaran Hardiansyah Muliang dan Saiful Rijal dalam aksi penuh drama.

Pada set pertama, Malaysia bermula langkah kiri apabila tumpas 17-21, sebelum bangkit pada set kedua dengan kemenangan 22-20.

Di set penentuan yang berlangsung sengit terutama di hujung perlawanan, nasib tidak menyebelahi pasukan negara apabila tumpas 23-25, menyaksikan Malaysia sekadar mengulangi pencapaian edisi 2017 di Kuala Lumpur dengan pingat perak, selepas tumpas kepada Myanmar.

Untuk rekod, Malaysia tidak menyertai acara beregu di edisi Filipina 2019.

Terdahulu, Malaysia mengatasi Filipina 21-18, 21-12 pada separuh akhir, selain menumpaskan Kemboja 21-9, 21-12 untuk menjuarai Kumpulan E, selepas turut menjinakkan Indonesia 21-19, 21-8.

Hanya skuad wanita negara akan beraksi bagi acara quadrant (berempat), esok. - Bernama