MB, Exco Kedah angkat sumpah semula jawatan

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) dan 10 Exco Kedah mengangkat sumpah semula jawatan Exco pada Majlis Pelantikan Exco Kedah di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, pada Khamis.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) dan 10 Exco Kedah mengangkat sumpah semula jawatan Exco pada Majlis Pelantikan Exco Kedah di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan tauliah pelantikan barisan Exco Kedah bagi tempoh dua tahun lagi.

Majlis Pelantikan Exco Kedah itu berlangsung di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini, pada Khamis.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan kesemua Exco Kedah kekal dengan portfolio sedia ada.

Menurut senarai Exco Kedah yang dikeluarkan Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA), Muhammad Sanusi kekal memegang portfolio Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Kewangan, Majlis Ekonomi Kedah dan Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail kekal sebagai Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi.

ADUN Tokai, Datuk Dr Mohd Hayati Othman dilantik semula sebagai Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin memegang portfolio Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Portfolio Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga kekal disandang ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob, manakala ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Ashah Ghazali masih menyandang Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan.

ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad kekal sebagai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan dan ADUN Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim memegang portfolio Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Bagi portfolio Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia ia kekal disandang ADUN Kupang, Datuk Najmi Ahmad,manakala ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad masih mengalas tanggungjawab sebagai Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Selain itu, ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee turut dilantik semula sebagai Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam.