Jumlah dagangan Malaysia naik 21.3 peratus pada April 2022

Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum peningkatan pada April 2022 dengan jumlah perdagangan menokok 21.3 peratus. - Gambar hiasan
Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum peningkatan pada April 2022 dengan jumlah perdagangan menokok 21.3 peratus. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum peningkatan pada April 2022 dengan jumlah perdagangan menokok 21.3 peratus tahun ke tahun kepada RM231.44 bilion, sekali gus merupakan pertumbuhan dua digit ke-15 bulan berturut-turut.

Dalam kenyataan pada Khamis, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai bulanan tertinggi pada April.

Katanya, eksport meningkat 20.7 peratus kepada RM127.49 bilion, pertumbuhan dua digit tahun ke tahun kesembilan bulan berturut-turut.

Sementara itu, import berkembang 22 peratus kepada RM103.95 bilion dan lebihan dagangan meningkat 15.7 peratus kepada RM23.55 bilion.

"Pertumbuhan eksport disokong oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) terutamanya semikonduktor yang dipacu oleh trend pendigitalan global.

"Eksport ke pasaran utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit.

"Sementara itu, eksport ke AS merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini,” menurut kenyataan itu.

MITI menjelaskan, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing berkurangan sebanyak 2.1 peratus, 3.1 peratus, 0.9 peratus dan 11.6 peratus.

Kementerian berkata, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan telah merekodkan nilai tertinggi bagi tempoh Januari hingga April 2022.

"Perdagangan meningkat 22.9 peratus kepada RM856.21 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Eksport naik 21.8 peratus kepada RM472.39 bilion dan import tumbuh 24.3 peratus kepada RM383.82 bilion. Lebihan dagangan berkembang 12.1 peratus kepada RM88.57 bilion,” katanya.

Mengenai prestasi eksport sektor utama, MITI berkata, kesemua sektor utama merekodkan pertumbuhan dua digit eksport pada April 2022.

Eksport barangan perkilangan pada April 2022 yang menyerap 84.2 peratus daripada jumlah eksport, naik 17.2 peratus tahun ke tahun kepada RM107.39 bilion, kata MITI.

Katanya, ia disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, barangan perkilangan logam, kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, di mana setiap barangan ini telah merekodkan peningkatan lebih RM1 bilion.

MITI berkata eksport keluaran pertanian (lapan peratus syer) meningkat 29.9 peratus kepada RM10.2 bilion berbanding April 2021, pertumbuhan dua digit ke-14 bulan berturut-turut yang disumbangkan kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport hasil galian (7.3 peratus syer) berkembang 64.6 peratus tahun ke tahun kepada RM9.33 bilion, pertumbuhan dua digit ke-13 bulan berturut-turut yang disokong oleh pertumbuhan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah, katanya.

Berbanding Mac 2022, eksport barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing menyusut 1.9 peratus, 3.5 peratus dan 13.4 peratus.

Bagi tempoh Januari hingga April 2022, MITI menjelaskan eksport barangan perkilangan berkembang 17.6 peratus kepada RM399.04 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2021, disokong oleh eksport kukuh barangan E&E, keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

Eksport keluaran pertanian menokok 43.6 peratus kepada RM37.37 bilion, dipacu oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Sementara itu, eksport hasil galian melonjak 60.4 peratus kepada RM33.74 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport LNG, petroleum mentah serta bijih logam dan serpihan logam, katanya.

Berhubung prestasi perdagangan dengan pasaran utama, MITI berkata pada April 2022, perdagangan dengan ASEAN merangkumi 26.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, berkembang 21.4 peratus tahun ke tahun kepada RM60.48 bilion.

Katanya, eksport naik 14.2 peratus kepada RM34.84 bilion yang dipacu oleh peningkatan eksport barangan E&E, manakala import dari ASEAN bertambah 32.7 peratus kepada RM25.64 bilion.

Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan peningkatan adalah Singapura yang berkembang RM1.42 bilion berikutan kenaikan eksport barangan E&E, Thailand (+RM1.07 bilion, petroleum mentah), Vietnam (+RM1.05 bilion, barangan E&E), Indonesia (+RM728.5 juta, keluaran petroleum) dan Filipina (+RM229.2 juta, barangan besi dan keluli).

Berbanding Mac 2022, perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut lapan peratus, 11.4 peratus dan tiga peratus.

MITI memaklumkan, perdagangan dengan ASEAN bagi tempoh empat bulan pertama 2022, meningkat 26.4 peratus kepada RM229.62 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2021, manakala eksport ke rantau ini naik 23.0 peratus kepada RM134.3 bilion.

Sementara itu, import dari ASEAN menokok 31.7 peratus kepada RM95.32 bilion.

MITI berkata, perdagangan dengan China pada April 2022, yang merangkumi 16.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berkembang 10.1 peratus tahun ke tahun kepada RM39.22 bilion.

Eksport mencatatkan pertumbuhan 12.4 peratus kepada RM17.36 bilion, disokong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan E&E, manakala import naik 8.3 peratus kepada RM21.85 bilion.

Berbanding Mac 2022, perdagangan dan import masing-masing meningkat 0.5 peratus dan tiga peratus, kata MITI sambil menyatakan perdagangan dengan China pada tempoh empat bulan pertama 2022 berkembang 17.5 peratus kepada RM150.56 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Perdagangan dengan AS pada April 2022 yang mewakili 9.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 21.1 peratus tahun ke tahun kepada RM22.13 bilion.

"Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang sebanyak 5.6 peratus, 5.7 peratus dan 5.3 peratus.

"Bagi tempoh Januari hingga April 2022, perdagangan dengan AS meningkat 16.7 peratus kepada RM78.79 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2021,” katanya.

Menurut kementerian, perdagangan dengan EU yang menyumbang lapan peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia pada April 2022 meningkat 24.2 peratus tahun ke tahun kepada RM18.5 bilion.

Eksport naik 30.5 peratus kepada RM11.54 bilion, pertumbuhan dua digit ketujuh bulan berturut-turut, yang disokong oleh pertambahan eksport barangan perkilangan logam serta barangan E&E.

Import dari EU berkembang 15.1 peratus kepada RM6.96 bilion, katanya.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan import masing-masing berkembang 1.1 peratus dan empat peratus, manakala eksport turun 0.5 peratus.

Pada tempoh empat bulan pertama 2022, perdagangan dengan EU meningkat 19.7 peratus kepada RM68.33 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2021, katanya.

MITI berkata, perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 6.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 12.8 peratus tahun ke tahun kepada RM14.92 bilion.

Eksport berkembang 22.1 peratus kepada RM7.58 bilion, pertumbuhan dua digit ke-14 bulan berturut-turut yang disokong oleh kenaikan eksport LNG, manakala import dari Jepun naik 4.5 peratus kepada RM7.34 bilion.

"Berbanding Mac 2022, import meningkat 0.7 peratus, manakala perdagangan dan eksport masing-masing berkurangan sebanyak 7.3 peratus dan 13.9 peratus.

"Bagi tempoh Januari hingga April 2022, perdagangan dengan Jepun berkembang 13.1 peratus kepada RM56.66 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2021,” katanya.

Mengenai perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada April 2022, yang merangkumi 65.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, MITI berkata ia naik 19.5 peratus tahun ke tahun kepada RM152 bilion.

Eksport ke rakan dagang FTA berkembang 20.3 peratus kepada RM84.23 bilion dan import menokok 18.4 peratus kepada RM67.77 bilion.

Eksport ke Korea Selatan meningkat 54.6 peratus kepada RM4.38 bilion berikutan eksport yang kukuh bagi barangan besi dan keluli, Hong Kong, (+20.4 peratus kepada RM7.15 bilion, barangan E&E) dan Australia (+57.7 peratus kepada RM5.11 bilion, petroleum mentah)

Sementara itu, menurutnya, eksport ke India berkembang 37.9 peratus kepada RM5.06 bilion berikutan kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, Turki (+42.7 peratus kepada RM1.85 bilion, barangan perkilangan logam) dan New Zealand (+44.8 peratus kepada RM416.3 juta, keluaran petroleum).

"Berbanding Mac 2022, import naik 1.1 peratus, manakala perdagangan dan eksport masing-masing menguncup 2.5 peratus dan 5.3 peratus.

"Perdagangan dengan rakan dagang FTA bagi tempoh empat bulan pertama 2022 yang merangkumi 66.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 22.4 peratus kepada RM570.45 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2021,” katanya.

Mengenai jumlah import Malaysia pada April 2022, MITI berkata, ia berkembang 22 peratus tahun ke tahun kepada RM103.95 bilion dengan tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 74.0 peratus daripada jumlah keseluruhan import.

Ini termasuk barangan pengantara bernilai RM59.59 bilion atau 57.3 peratus daripada jumlah import, yang meningkat 28.1 peratus; barangan modal bernilai RM9.10 bilion atau 8.8 peratus daripada jumlah import, menyusut 2.4 peratus dan barangan penggunaan bernilai RM8.28 bilion atau lapan peratus daripada jumlah import, naik 9.7 peratus.

MITI menambah, bagi tempoh Januari hingga April 2022, import meningkat 24.3 peratus kepada RM383.82 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2021. - Bernama