Haram beli bayi dari sindiket: Mufti

Muka depan akhbar Sinar Harian melaporkan tentang sindiket jual bayi yang masih berleluasa.
Muka depan akhbar Sinar Harian melaporkan tentang sindiket jual bayi yang masih berleluasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menegaskan urusan jual beli bayi dari sindiket penjualan bayi adalah haram biarpun pengambilan anak angkat itu digalakkan dalam Islam.

Menurutnya, undang-undang negara ini turut secara jelas menyatakan penjualan bayi atau pemerdagangan orang ini satu kesalahan yang besar, begitu juga dalam Islam.

“Niat untuk membeli anak dari sindiket itu haram hukumnya kerana sindiket itu sendiri jelas melanggar undang-undang sedia ada kerana mengambil kesempatan dan mengeksploitasi keadaan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sinar Harian bongkar sindiket jual bayi

Lagi comel, lagi mahal!

Polis buru wanita dalang jual bayi

“Kita sendiri tidak tahu asal usul bayi tersebut diperoleh dan tidak tahu anak siapa.

Artikel Berkaitan:

“Seperti beli barang dari hasil curi, ia salah, apatah lagi manusia, perlu faham itu anak orang, jadi ia satu dosa besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Isnin lalu, Sinar Harian melalui ruangan Sinar Siasat mendedahkan sindiket menjadikan rumah jagaan gadis terlanjur sebagai lubuk mendapatkan bekalan bayi.

Selepas bersalin, gadis terlanjur perlu menyerahkan bayi mereka kepada pusat jagaan tersebut, jika tidak, perlu membayar lebih RM9,500 sebagai kos penjagaan semasa mengandung dan bersalin.

Dalam pada itu katanya, pengambilan anak angkat sama ada mahu membantu keluarga asal bayi atau diberi, ia memang digalakkan dalam Islam, namun perlulah dilakukan mengikut saluran yang betul.

“Asalkan ikut adap, syarat dan aurat. ‘Bin’ juga adalah dari bapa yang asal,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pengambilan anak angkat secara urusan jual beli dengan sindiket adalah ditegah di dalam Islam.

“Hukum manusia tidak boleh dijual, kerana Islam tidak merestui sistem penghambaan. Islam amat menggalakkan pembebasan hamba abdi dan dijanjikan pahala besar atas usaha itu.

“Justeru, kita faham disini, Islam tidak suka manusia dijual beli, bukan seperti barang lain,” katanya.

Oleh itu nasihatnya, jangan ada mana-mana pihak menjadikan pengambilan anak angkat itu sebagai satu kerjaya.

“Jika benar ada (sindiket) pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.