Andre Anura puas tuai emas

Andre Anura beraksi cemerlang untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Nasional My Dinh pada Selasa. - Foto Bernama
Andre Anura beraksi cemerlang untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Nasional My Dinh pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET olahraga negara, Andre Anura Anuar berjaya mengubati bukan satu tetapi dua kekecewaan dihadapinya sebelum ini dengan merangkul pingat emas acara lompat kijang lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 pada Selasa.

Kejayaan atlet muda Sabah berusia 22 tahun itu di Stadium Nasional My Dinh turut memastikan kem olahraga menepati sasaran lima pingat emas pada temasya kali ini yang juga emas ke-22 Malaysia.

Di sebalik kekecewaan dialami apabila gagal menyumbang emas acara lompat jauh serta enam lompatannya dibatalkan, Andre Anura mencatat sejarah tersendiri dengan emas diraihnya selepas melakukan 16.51 meter (m), lompatan mengatasi catatan terbaik peribadi 16.09m dilakukan pada Terbuka Malaysia Mac lepas.

Atlet Filipina, Mark Harry Diones Aloto (15.87m) dan wakil tuan rumah, Tran Van Dien (15.84m) masing-masing meraih perak dan gangsa manakala seorang lagi atlet negara, Brendon Ting Li King (15.48m) menamatkan saingan di tempat ketujuh.

"Hari ini saya berpuas hati dapat tebus balik kekalahan lompat jauh dan bangga dengan catatan peribadi baharu. Saya kasihan dengan jurulatih (Ahmad Firdaus Salim), yang dua hari sedih, termenung kerana kami memang datang dengan harapan pingat emas.

"Jadi, pada hari ini saya dapat menang emas, terima kasih kepada jurulatih, rakan-rakan dan semua yang bantu saya,” katanya kepada pemberita.

Kejayaan itu turut memastikan Malaysia mempertahankan gelaran dimenangi Muhammad Hakimi Ismail sejak edisi 2015 selepas dia tidak dapat menyertai edisi kali ini kerana masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan.

Sementara itu, Norliyana Kamaruddin meraih gangsa acara heptatlon selepas berjaya mengumpul 5,262 mata di belakang peserta tuan rumah, Nguyen Linh Na (5,415) dan Sarah Dequinan Noveno (5,381) dari Filipina.

Pemenang pingat perak acara lempar cakera wanita, Queenie Kung Ni Ting yang mencuba nasib dalam acara lontar peluru pula meraih tempat keenam dengan lontaran sejauh 11.63m.

Acara trek dan balapan akan bersambung pada Rabu dengan Nauraj Singh Randhawa dijangka mempertahankan emas acara lompat tinggi lelaki manakala Muhammad Azeem Fahmi dan Muhammad Arsyad Md Saat akan membawa cabaran pada acara 100m lelaki. - Bernama