Pendaki hanyut: Cebisan anggota badan pula ditemui

Unit K9 membantu mencari dua pendaki yang hilang dihanyutkan kepala air di Gunung Suku, Simpang Pulai. - Foto ihsan pembaca
Unit K9 membantu mencari dua pendaki yang hilang dihanyutkan kepala air di Gunung Suku, Simpang Pulai. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Dua cebisan anggota badan dipercayai milik manusia ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua wanita yang dihanyutkan kepala air di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini pada Selasa.

Operasi yang memasuki hari ketiga itu turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan kedua-dua mangsa yang hilang sejak Ahad lalu.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, cebisan itu dijumpai oleh pasukan penyelamat kira-kira 300 meter dari jalan utama kira-kira jam 4.30 petang.

"Cebisan pertama dijumpai petang semalam dan cebisan kedua itu berjaya ditemui selepas titik kawasan itu dihurung lalat sebelum disahkan oleh Unit K9.

"Cebisan itu dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurutnya, operasi SAR ditangguhkan sementara pada jam 5.30 petang berikutan keadaan hari yang semakin gelap.

"Operasi akan bersambung esok (Rabu) melibatkan beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.

"Pencarian masih memfokuskan kawasan laluan air yang mana bahagian anggota dan cebisan itu ditemui termasuk di bawah lumpur dan timbunan kayu yang dibawa kepala air," katanya.

Seramai 63 anggota daripada pelbagai pasukan dan agensi terlibat dalam SAR yang dijalankan sejak Ahad lalu.

Selain JBPM agensi lain terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan Negeri dan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) dari Selangor.

Media melaporkan pasukan penyelamat menemui anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita berkenaan.

Bahagian kaki kiri itu ditemui kira-kira jam 5.05 petang pada Ahad manakala separuh badan bahagian manusia dijumpai dalam timbunan tanah kira-kira jam 10.20 pagi Isnin.

Dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew,46, dilaporkan dikhuatiri dihanyutkan kepala air ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku.