X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Malaysia dijangka catat pemulihan trafik penumpang udara

Ka Siong - Foto Bernama
A
A

SINGAPURA - Trafik penumpang udara Malaysia tahun ini diunjurkan melonjak di antara 197 peratus dengan 347 peratus tahun ke tahun, mewakili 32.6 juta hingga 49 juta penumpang, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ka Siong dalam kenyataan pembukaan semasa perbincangan panel bertajuk ‘Reviving Aviation, Rebuilding Connections’ di Sidang Kemuncak Penerbangan Changi (CAS) 2022 berkata, ini menunjukkan pemulihan 30 hingga 45 peratus daripada tahap trafik penumpang udara sebelum pandemik melanda pada 2019.

Ka Siong berada di sini atas jemputan kerajaan Singapura.

Beliau berkata, mengenai trafik kargo udara bagi 2022, ia dijangkakan meningkat 3.9 hingga 6.7 peratus tahun ke tahun, yang menandakan 21.5 bilion hingga 22 bilion tan kargo setiap kilometer (FTK), disokong oleh kemajuan program vaksinasi, pertumbuhan kukuh e-dagang serta peningkatan aktiviti perdagangan antarabangsa, import dan eksport.

Bagi pemulihan yang lancar dan sepenuhnya, beliau mencadangkan bahawa protokol kesihatan yang dikenakan ke atas perjalanan udara mestilah konsisten, lebih mudah dan lebih boleh jangka.

"Beberapa tindakan juga memerlukan pertimbangan lanjut antaranya, membenarkan penumpang yang telah menerima vaksin melakukan perjalanan tanpa langkah tambahan; menggunakan ujian antigen sebelum berlepas untuk penumpang yang tidak menerima vaksin; serta mengelakkan ujian semasa ketibaan," katanya.

Beliau berkata, lain-lain termasuk menghapuskan larangan perjalanan dan mempercepat pelonggaran sekatan perjalanan dengan menyedari fakta bahawa pengembara tidak menimbulkan risiko jangkitan Covid-19 yang besar berbanding apa yang telah sedia wujud dalam populasi umum.

Selepas menyampaikan kenyataan pembukaan itu, beliau menyertai perbincangan dengan rakan panel dan penceramah.

Mereka ialah Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi; Ketua Pengarah Mobiliti dan Pengangkutan Suruhanjaya Eropah, Henrik Hololei; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singapore Airlines, Goh Choon Phong; serta CEO Airports Company South Africa, Nompumelelo Z.Mpofu.

Ka Siong berkata, sektor penerbangan awam mesti membina keyakinan antara kerajaan, industri dan pengembara udara, serta entiti di luar sektor penerbangan seperti pihak berkuasa kesihatan dan imigresen.

"Pemansuhan kuarantin dan ujian Covid-19 yang membebankan sudah tentu membantu meningkatkan keyakinan dalam kalangan pengembara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia telah melakukan dengan baik menerusi kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan penerbangan dan kesihatan mengenai isu-isu ini untuk mengenal pasti masalah dan merangka penyelesaian.

"Akhirnya, pelaksanaan Malaysia bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan Singapura, Kemboja dan Thailand merupakan sebahagian besar usaha bersama bagi menangani jangkaan dan memulihkan semula keyakinan kalangan pengembara untuk melakukan perjalanan melalui udara.

"Dalam melangkah maju, kita juga mesti meneruskan pendigitalan dan kemampanan dalam operasi lapangan terbang dan penerbangan sebagai kunci untuk membina daya tahan industri penerbangan awam bagi masa depan,” katanya.

Ka Siong berkata, berdasarkan statistik, sehingga 29 Mac 2022 iaitu sebelum pembukaan semula sempadan Malaysia, daripada sejumlah 115,646 penumpang yang tiba di Malaysia menerusi VTL, hanya 7,923 atau kurang daripada 7.0 peratus dikesan positif mengalami jangkitan Covid-19 semasa ketibaan.

"Statistik-statistik ini penting sebagai panduan dalam keputusan kerajaan untuk membuka semula sempadan Malaysia dan seterusnya membantu membina keyakinan dan sokongan awam terhadap pembukaan semula Malaysia kepada semua pelancong antarabangsa pada 1 April 2022," katanya.

CAS 2022 yang julung kali diadakan menghimpunkan 300 pemimpin penerbangan global, pembuat dasar dan eksekutif kanan dari lebih 45 negara. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!