Warden sekolah agama ditahan siasat kes liwat pelajar sejak 2018

Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Zaki)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Zaki)
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang warden asrama sebuah sekolah agama di Tanah Merah ditahan kerana dipercayai meliwat seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua sejak tahun 2018.

Suspek lelaki yang berusia 30-an itu ditahan di sekolah berkenaan pada awal pagi Selasa.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan dibuat sepasukan polis sejurus menerima laporan daripada mangsa.

Katanya, kejadian terbongkar apabila mangsa menceritakan perkara dia diliwat kepada keluarganya yang didakwa berlaku sejak mangsa berusia 10 tahun.

“Berdasarkan keterangan awal mangsa memberitahu kejadian liwat itu berlaku sejak tahun 2018.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut manakala mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya pada sidang akhbar, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, pada Selasa.

Ujar beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan akan direman di Mahkamah Tanah Merah pada Selasa.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menyiasat berapa kali kejadian mangsa diliwat dan lokasi berlaku perbuatan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.