Skuad berbasikal MTB cipta sejarah raih emas pertama

Skuad kebangsaan dibarisi Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon merekodkan masa 1 jam, 23 minit dan 14 saat untuk muncul juara sekali gus menghadiahkan Malaysia emas ke-20 pada temasya sukan dwitahunan itu. - Foto Bernama

A
A
A

SKUAD berbasikal MTB kebangsaan mencipta pencapaian bersejarah apabila merangkul pingat emas pertama acara berganti-ganti rentas desa campuran pada Sukan SEA ke-31 yang berlangsung di wilayah Hoa Binh, Vietnam, pada Selasa.

Ia merupakan emas pertama Malaysia dalam sukan itu sepanjang penganjuran temasya Sukan SEA dengan pencapaian terbaik sebelum itu adalah pingat perak pada edisi 2011 yang menjadi pingat terakhir diraih kem berbasikal MTB negara.

Pada saingan final hari ini, skuad kebangsaan dibarisi Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon merekodkan masa 1 jam, 23 minit dan 14 saat untuk muncul juara sekali gus menghadiahkan Malaysia emas ke-20 pada temasya sukan dwitahunan itu.

Pasukan tuan rumah yang diwakili Van Linh Dinh, Thi Nhu Quynh Dinh, Van Nhat Bui dan Thi Thom Ca terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat masa 1’23.48s.

Pingat gangsa menjadi milik gandingan Phunsiri Sirimongkhon, Warinthorn Phetpraphan, Supuksorn Nuntana dan Keerati Sukprasart dari Thailand dengan masa 1’24.54s.