Wanita warga emas maut diserang buaya ketika baiki pam air

Seorang wanita warga emas maut selepas diserang buaya di Kampung Sinasak Batu, Pitas, pada Isnin. (Gambar hiasan). Gambar kecil: Zairolnizal
Seorang wanita warga emas maut selepas diserang buaya di Kampung Sinasak Batu, Pitas, pada Isnin. (Gambar hiasan). Gambar kecil: Zairolnizal
A
A
A

KOTA MARUDU - Seorang wanita warga emas maut selepas diserang buaya ketika sedang membaiki pam air di sungai di Kampung Sinasak Batu, Pitas, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa berusia 66 tahun sempat diselamatkan penduduk kampung namun disahkan meninggal dunia selepas kira-kira tiga jam menerima rawatan di Hospital Pitas.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, kejadian itu disaksikan oleh cucu mangsa sendiri yang ketika itu turut berada di lokasi kejadian.

"Ketika mangsa sedang mengambil air di sungai sambil membetulkan pam air, tiba-tiba dia menjerit dan dalam masa sama, cucu perempuannya yang berusia sembilan tahun ternampak kocakan air sungai serta seekor buaya sedang menyerang mangsa.

"Mangsa berjaya melepaskan diri dengan dibantu penduduk kampung sebelum terus dikejar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Zairolnizal berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 petang.

"Hasil pemeriksaan fizikal oleh pegawai perubatan di hospital itu mendapati terdapat kesan kecederaan parah di kepala mangsa.

"Kecederaan itu disebabkan gigitan buaya dan ia selari dengan keterangan yang diberikan saksi," katanya.

Tambah beliau lagi, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.