X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Malaysia mohon 5,000 tambahan kuota haji

Idris Ahmad
A
A

BUKIT GANTANG - Malaysia memohon sebanyak 5,000 tambahan kuota jemaah haji daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Bagaimanapun beliau berkata, ia bergantung kepada kemampuan yang boleh diberikan oleh negara itu.

"Kami mohon sahaja tetapi bidang kuasa terletak pada Kerajaan Arab Saudi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Mustafa Samat di Kampung Pasir di sini pada Isnin.

Beliau berkata, surat tawaran yang ditolak bagi jemaah yang menghadapi masalah termasuk disebabkan kesihatan dan faktor umur, juga akan ditawarkan kepada jemaah lain.

Sehubungan itu, Idris menasihatkan para jemaah supaya menjaga kesihatan kerana semua bakal haji diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan bagi memperoleh visa haji sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

"Kami harapkan bakal jemaah haji tumpukan pada kesihatan kerana ibadah haji memerlukan fizikal yang cergas dan kesempurnaan bacaan adalah sunat sahaja.

"Kepada mereka yang tidak lulus, kami harap tahun depan insya-Allah mereka akan diberikan peluang, namun ia tetap ditentukan oleh Arab Saudi," katanya.

Pada 21 April lepas, Idris mengumumkan kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima.

Kuota sebanyak 14,306 itu ialah penurunan daripada 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan menunaikan Rukun Islam kelima itu, pada 2019. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!