Sila log masuk terlebih dahulu.

KPM susun semula proses pertukaran guru

Radzi Jidin
Radzi Jidin
A
A
A

BACHOK - Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyusun semula proses pertukaran guru dengan permohonan boleh dibuat sepanjang tahun melibatkan empat kali pertukaran setahun berbanding dua kali sebelum ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata pertukaran yang dibuat pada setiap Mac, Jun, September dan Disember itu, mengikut kesesuaian tempat yang dipohon serta opsyen mata pelajaran di negeri terbabit.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan guru dapat mengajar subjek selain daripada iktisas kelayakan mereka supaya memberi kelebihan sewaktu meminta pertukaran nanti.

"Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha menambah baik semula beberapa struktur sistem pendidikan negara.

Penambahbaikan lain yang akan diberi perhatian adalah penyediaan platform aplikasi penyusunan jadual dan pengredan sekolah di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, pada Isnin.

Pada majlis tersebut Datu Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah telah dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022, manakala Roslan Yatim menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022.

Mengulas lanjut, Radzi berkata sistem pengisian pangkalan data maklumat guru dan sebagainya turut akan diberi fokus oleh KPM bagi memudahkan urusan pertukaran dilaksanakan dengan mudah serta cekap.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya aspek pembangunan dan kebajikan guru perlu diberi perhatian bagi memastikan pengoperasian sekolah serta tanggungjawab golongan tersebut dapat ditingkatkan kecekapannya ketika bertugas.

"Kami telah turun padang mendengar pandangan dan rungutan daripada warga pendidik mengenai masalah dihadapi mereka, semasa sesi libat urus yang diadakan sebelum ini.

"Kami akan pastikan ketidakcekapan yang berlaku dalam struktur sistem sekolah dapat diatasi bagi memastikan setiap guru mengisi masa mendidik atau mengajar secara optimum," katanya. - Bernama