'Memang ada minum alkohol tapi segelas saja'

Seorang lelaki ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Bangsar pada Isnin.
Seorang lelaki ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Bangsar pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Saya minum segelas sahaja bang", itu antara alasan yang diberikan oleh seorang pemandu yang ditahan dalam Op Mabuk Bersepadu Khas di Jalan Bangsar di sini pada Isnin.

Dalam kejadian pada jam 1 pagi, pemandu berusia 30-an itu cuba untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) dengan mengundurkan kenderaannya.

Seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang bertugas di lokasi berjaya menghalang dan menahan kenderaan tersebut.

Selepas ditahan anggota bertugas mengesyaki lelaki tersebut berada dalam keadaan mabuk berikutan bau alkohol yang kuat dapat dihidu pada tubuhnya.

Keputusan ujian pernafasan terhadap lelaki tersebut mendapati kandungan alkohol dalam badannya jauh melebihi daripada kadar yang dibenarkan untuk memandu.

"Saya tak bernasib baik hari ini. Memang saya ada minum alkohol tetapi segelas sahaja pun boleh sangkut," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi operasi.

Sementara itu, Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, lelaki itu antara 16 pemandu mabuk ditahan dalam operasi yang dijalankan di enam lokasi 'hot spot' di sekitar ibu negara.

Beliau berkata, operasi dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan lagi berikutan kebenaran yang diberikan oleh kerajaan kepada pengusaha pusat-pusat hiburan untuk kembali beroperasi bermula Sabtu lalu.

"Memandangkan pusat hiburan dah boleh beroperasi, kita menjangkakan ada peningkatan jumlah pemandu mabuk.

"Kita akan tingkatkan operasi penguatkuasaan untuk memastikan masalah pemandu mabuk ini dapat dibendung," ujarnya.