Suarez tinggalkan Atletico

Suarez bersama anaknya melambaikan tangan kepada penyokong Atletico sebagai tanda perpisahan apabila disahkan tidak akan bersama kelab itu pada musim hadapan. - Foto AFP
Suarez bersama anaknya melambaikan tangan kepada penyokong Atletico sebagai tanda perpisahan apabila disahkan tidak akan bersama kelab itu pada musim hadapan. - Foto AFP
A
A
A

PENYERANG Atletico Madrid, Luis Suarez sah akan meninggalkan Wanda Metropolitano pada penghujung musim ini selepas dua tahun beraksi bersama kelab itu.

Perkara tersebut diumumkan Atletico dalam satu kenyataan pada Ahad sambil memaklumkan pertembungan menentang Sevilla merupakan perlawanan terakhir buat penyerang kelahiran Uruguay itu di laman sendiri.

“Luis Suarez adalah pemain yang hebat dan dia sentiasa mempunyai tempat tidak kira sama ada di muzium dan di mana-mana bahagian stadium ini. Beliau (Suarez) akan sentiasa diingati.

“Kenangan indah kami bersamanya akan sentiasa diingati kerana dia seseorang pemain yang berjaya mencapai segalanya di LaLiga," kata Presiden Atletico, Enrique Cerezo.

Dalam pada itu, Suarez turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di Atletico sambil memberitahu bahawa dia tidak akan lupa segala kenangan sepanjang beraksi bersama kelab tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di Atletico termasuklah penyokong.

“Rasa sayang yang mereka berikan sejak saya tiba adalah sesuatu yang menakjubkan dan saya tidak akan lupakannya.

“Saya akan sentiasa membawa perasaan terhadap kelab ini walaupun tidak terlalu gembira dengan diri saya musim sebelum ini. Atletico sentiasa di hati saya,” katanya.