13 cabang PKR mengundi di Pulau Pinang

Muhammad Bakhtiar meninjau pusat pengundian Cabang Balik Pulau di Dewan Balora Mastika, pada Isnin.
Muhammad Bakhtiar meninjau pusat pengundian Cabang Balik Pulau di Dewan Balora Mastika, pada Isnin.
A
A
A

BALIK PULAU - Semua 13 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mengadakan pengundian secara fizikal untuk pemilihan peringkat cabang parti itu bagi tahun 2022, pada Isnin.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pengundian secara fizikal melibatkan kira-kira 30 peratus daripada 75,000 ahli PKR di Pulau Pinang.

Beliau yang bertanding jawatan Ketua Cabang Balik Pulau berkata, berdasarkan laporan yang diterima, sehingga kini proses pengundian berjalan lancar di semua cabang.

"Proses pengundian secara fizikal bermula jam 9 pagi dan dijangka tamat pada 5 petang. Setakat ini, semua berjalan lancar, mematuhi semua peraturan ditetapkan. Bagi cabang ini, seramai 550 Pengundi Atas Talian (PAT) akan mengundi berlangsung dari 18 hingga 20 Mei ini.

"Kita jangka semua ahli yang mengundi secara fizikal keluar mengundi pada hari ini (Isnin)," katanya selepas meninjau Pusat Pengundian Cabang Balik Pulau di Dewan Balora Mastika di sini, pada Isnin.

Kata Muhammad Bakhtiar, cabang yang dijangka sengit dan 'panas' adalah Bayan Baru apabila menyaksikan dua pemimpin tempatan bertanding.

"Di sana (Bayan Baru), sengit sedikit sebab ada dua tokoh besar di situ iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan juga Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain.

''Saya akan tinjau proses pengundian di sana, setakat ini dengar semuanya berjalan lancar,'' katanya.

Cabang Balik Pulau menyaksikan pertandingan dua penjuru bagi jawatan ketua cabang; tiga penjuru bagi naib ketua cabang; 17 untuk ahli jawatankuasa manakala jawatan timbalan ketua cabang dimenangi tanpa bertanding.

Selain Balik Pulau, sebanyak 12 cabang lain yang mengadakan sesi pemilihan secara fizikal itu adalah Kepala Batas; Tasek Gelugor; Bagan; Permatang Pauh; Bukit Mertajam; Batu Kawan; Nibong Tebal; Bukit Bendera; Tanjong; Jelutong, Bukit Gelugor dan Bayan Baru.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar menasihatkan kepada semua ahli PKR di Pulau Pinang menjaga pelakuan dan tindak tanduk agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

"Fokus kita adalah untuk menghadapi PRU. Itu penting. Oleh itu, saya harap semua bertenang, mengundi dengan elok, tidak gaduh dan jangan beremosi sangat, biar lah dalam suasana yang baik. Setakat ini saya dapat laporan semua cabang dalam keadaan baik," katanya.

PKR mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen Pakatan Harapan itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tahun hadapan.

Antara negeri yang telah mengadakan pengundian secara fizikal adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor Pahang dan Wilayah Persekutuan manakala hari ini pengundian fizikal dijalankan di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Untuk Selangor, negeri yang dicatatkan paling ramai ahli ditetapkan pengundian pada 21 Mei dan Perak, Sabah serta Sarawak pada 22 Mei.