Jangan terburu-buru tanam ketum: Mahdzir

Mahdzir (empat dari kanan) memotong pulut kuning pada Majlis Aidilfitri Parlimen Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.
Mahdzir (empat dari kanan) memotong pulut kuning pada Majlis Aidilfitri Parlimen Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERANG - Rakyat Kedah khususnya di kawasan luar bandar di daerah Padang Terap dinasihatkan tidak terburu-buru untuk menanam pokok ketum dalam skala besar selagi belum mendapat kebenaran rasmi daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penduduk boleh menjadi seorang yang positif dan progresif, namun perlu menunggu keputusan rasmi terlebih dahulu.

Beliau mengakui tanaman ketum bukan perkara yang baharu di daerah tersebut, malah sudah ditanam oleh penduduk sejak sekian lama.

"Ada laporan media tentang pertambahan tanaman ketum. Sebenarnya tanaman ketum ini, saya ingat sudah lama untuk masyarakat di luar bandar khususnya di Kedah dan secara khusus lagi di Padang Terap.

"Saya tidak fikir ada pertambahan. Bila ada perkhabaran baik walaupun belum tentu lagi dapat kebenaran, tetapi bagi mereka ia adalah perkara positif. Jadi mereka betulkan balik ladang-ladang (yang lama), jadi itu yang nampak macam ada pertambahan baru tanaman ketum," katanya ketika sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas laporan sebuah media tentang dakwaan pertambahan jumlah tanaman ketum di Kedah terutamanya di daerah Padang Terap.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar sebelum itu menyertai Majlis Aidilfitri Parlimen Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masih terlalu awal untuk penduduk 'berangan-angan' kerana pelbagai sudut sedang diteliti oleh kerajaan sebelum keputusan diumumkan.

"Kalau itu keputusan kerajaan pada waktu itu (benar tanaman ketum atau tidak), barulah mengikut undang-undang yang ditetapkan. Saya merasakan kerajaan sedang mencari jalan yang terbaik," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan jumlah keluasan tanaman ketum di seluruh Kedah dianggarkan kira-kira 140 hektar melibatkan 84,577 batang pokok membabitkan seramai 177 petani.

Daerah Padang Terap merekodkan kawasan paling luas iaitu 94.36 hektar hektar, diikuti Pendang (30.5 hektar), Sik (7.2 hektar) dan Baling (3.7 hektar).