Tangguh gaji minimum bantu usahawan pulih ekonomi

Noh (tiga dari kiri) menyampaikan peruntukan RM50,000 kepada SK Sungai Burong ketika Mesyuarat Agung Tahunan PIBG dan Pelancaran Program Unified Digital Library di Dewan SK Sungai Burung pada Sabtu.
Noh (tiga dari kiri) menyampaikan peruntukan RM50,000 kepada SK Sungai Burong ketika Mesyuarat Agung Tahunan PIBG dan Pelancaran Program Unified Digital Library di Dewan SK Sungai Burung pada Sabtu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Penangguhan pelaksanaan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan usahawan mikro di seluruh negara dapat membantu memulihkan semula ekonomi golongan itu yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, terdapat 46,000 usahawan mikro yang sebelum ini terpaksa 'gulung tikar' memerlukan proses pemulihan untuk bangkit semula bagi memulihkan perniagaan masing-masing.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengecualikan pelaksanaan gaji minimum kepada usahawan mikro.

"Dalam keadaan mereka (usahawan mikro) hendak pulih, sudah tentu memerlukan masa pelaksanaan dan persediaan (gaji minimum) lebih-lebih lagi mereka baru pulih daripada kesan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pelancaran Program Unified Digital Library di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burung pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, penangguhan pelaksanaan gaji minimum kepada usahawan mikro itu juga sudah diputuskan dalam kabinet.

"Istilah usahawan mikro ini ialah mana-mana usahawan pendapatannya RM300,000 ke bawah dan mempunyai pekerja tidak melebihi lima orang," katanya.

Tambah beliau, pihaknya yakin usahawan mikro mampu membayar gaji minimum apabila keadaan ekonomi mereka kembali stabil

Bagaimanapun katanya, usahawan mikro yang mempunyai kemampuan digalak untuk membayar gaji minimum kepada pekerja.

"Dasar ini dibuat kerana kita tidak mahu usahawan mikro yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan tidak berkemampuan terpaksa mengikut gaji minimum ditetapkan hingga memberi tekanan kepada peniaga tersebut.

"Selain itu, kita juga bimbang jika pengecualian gaji minimum tidak diberikan, ada anak-anak mempertikaikan jika ibu mereka masih dibayar gaji lama," katanya.