Warga emas pandu lawan arus dilepaskan dengan jaminan

Sebelum ini polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian tular sebuah van sekolah dipandu secara melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan dalam kejadian pada Rabu.
Sebelum ini polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian tular sebuah van sekolah dipandu secara melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan dalam kejadian pada Rabu.
A
A
A

MANJUNG - Warga emas yang memandu van sekolah secara berbahaya dan melawan arus di Jalan Lumut - Sitiawan di sini Rabu lalu dilepaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 74 tahun itu dilepaskan selepas keterangannya selesai diambil pada Khamis.

"Penahanan dan pendakwaan akan dilakukan selepas kertas siasatan lengkap dan mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk proses seterusnya," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, semakan mendapati, pemandu terbabit hanya mempunyai satu rekod saman atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pada 1998, namun ia sudah dijelaskan.

"Ujian saringan air kencingnya juga negatif. Polis merampas van digunakan untuk siasatan," katanya.

Kejadian sekitar jam 7.15 malam 11 Mei lalu berlaku semasa pemandu pemandu tersebut sedang membawa lapan orang pelajar berusia 13 hingga 14 tahun.

Hasil siasatan awal, lelaki terbabit mengaku bahawa van tersebut dipandu dalam keadaan tergesa-gesa kerana hendak menghantar pelajar tersebut pulang ke rumah masing-masing dari sekolah.

Kejadian itu tular menerusi satu video berdurasi 19 saat di aplikasi TikTok memaparkan sebuah van sekolah berwarna kuning dipandu secara berbahaya dan melawan arus.