Polis siasat van sekolah lawan arus

Tangkap layar rakaman video tular di aplikasi TikTok menunjukkan van sekolah dipandu secara melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan dalam kejadian pada Rabu.
Tangkap layar rakaman video tular di aplikasi TikTok menunjukkan van sekolah dipandu secara melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan dalam kejadian pada Rabu.
A
A
A

MANJUNG - Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian tular sebuah van sekolah dipandu secara melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan dalam kejadian pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung berjaya mengesan seorang lelaki yang merupakan pemandu van tersebut pada Khamis.

Menurutnya, lelaki berkenaan bersama van tersebut kemudian dibawa ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 11 Mei jam 7.15 petang di Jalan Lumut-Sitiawan. Semasa kejadian pemandu tersebut sedang membawa lapan orang pelajar berusia 13 hingga 14 tahun.

"Lelaki terbabit mengaku bahawa van tersebut dipandu dalam keadaan tergesa-gesa kerana hendak menghantar pelajar tersebut pulang ke rumah masing-masing dari sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nor Omar berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Menurutnya, hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 sehingga RM15,000 boleh dikenakan jika sabit kesalahan selain hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu.

"Kita memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran untuk membantu siasatan.

"Kita juga menasihati pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan pengguna sekali gus mengelak berlakunya kemalangan," katanya.

Pada 12 Mei, satu video berdurasi 19 saat tular aplikasi TikTok memaparkan sebuah van sekolah berwarna kuning dipandu secara berbahaya dan melawan arus.