[VIDEO] Pemandu lori tak mengaku rompak penyampai berita TV

Muhammad Qayyum (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan kes merompak seorang penyampai berita minggu lalu.
Muhammad Qayyum (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan kes merompak seorang penyampai berita minggu lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan merompak seorang penyampai berita televisyen, minggu lalu.

Muhammad Qayyum Mazlan, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa merompak beg hitam bernilai RM500 dan wang RM100 milik Khairul Rizuan Azizan, 34, di tepi jalan berhampiran Exclusive Perdana, Damansara Perdana, pada jam 3.40 petang, 5 Mei lalu.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana pertuduhan yang dibuat termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

"Kesalahan itu serius kerana kerugian melibatkan harta rompak malah jika tertuduh diberi ikat jamin ada kemungkinan dia akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

"Kes ini tular dan mendapat perhatian umum selain mangsa merupakan seorang penyampai berita maka ada kemungkinan tertuduh akan mencari serta mengganggu saksi tersebut," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Kailash Sharma yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin dengan alasan dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

"Ini kerana dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun di Teluk Intan.

"Meskipun kesalahan berada di bawah pertuduhan yang tidak boleh dijamin, namun mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberi ikat jamin kepada tertuduh," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Jamaludin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Jun depan.

Pada Jumaat minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, polis menahan dua beradik bagi membantu siasatan kes samun membabitkan seorang penyampai berita di Damansara Perdana.

Bagaimanapun adik perempuan suspek yang berusia 24 tahun, telah diberi jamin polis.

Minggu lalu, seorang lelaki cuba mengejar penjenayah yang memecahkan tingkap kereta miliknya sebelum cedera akibat diseret kereta Perodua Myvi yang dipandu suspek.

Video berkenaan tular di media sosial selepas pelakon dan penyanyi Janna Nick, yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian memuat naik rakaman kamera papan pemuka di akaun Instagram dan Tiktok miliknya.

@sinarharianonline Jika sabit kesalahan, penjara hingga 14 tahun, dikenakan denda atau sebat! #fyp#TrendingNewsMalaysia#TikTokNews#BuletinTikTok#PenyampaiBerita original sound Sinar Harian