Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS menjelang pengumuman KDNK

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.3900/3950 berbanding dolar AS daripada 4.3935/3945 ketika ditutup pada Khamis.

Rakan Kongsi Pengurusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, terdapat banyak jangkaan dalam kalangan pakar ekonomi bahawa KDNK meningkat di antara 4.0 peratus dengan 5.0 peratus.

"Saya berpandangan apa sahaja pengumuman dalam lingkungan tersebut adalah neutral untuk ringgit namun jika rendah ia boleh negatif (bagi ringgit) dan lebih tinggi, itu positif. Jadi, tunggu dan lihat bagi saranan itu,” katanya.

Moody's Analytics mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 1.1 peratus suku ke suku bagi suku pertama 2022 susulan pengembangan 6.6 peratus pada suku keempat 2021.

Sementara itu, OCBC Bank, pada 11 Februari menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.4 peratus pada 2022 berbanding jangkaan awal 5.0 peratus memandangkan penggunaan swasta bertambah baik pada suku keempat 2021 dan persekitaran eksport yang masih menyokong.

Bagi 2022, bank itu menjangkakan KDNK berkembang di antara 5.5 peratus dengan 6.5 peratus, disokong oleh peningkatan permintaan global berterusan dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.

Pada suku keempat 2021, ekonomi Malaysia berkembang 3.6 peratus, menjadikan pertumbuhan setahun penuh kepada 3.1 peratus berbanding penyusutan 5.6 peratus pada 2020

BNM dijangka mengumumkan KDNK suku pertama 2022 pada jam 11 pagi.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1447/1487 daripada 3.1488/1500 ketika ditutup pada Khamis serta naik berbanding euro kepada 4.5564/5616 daripada 4.5820/5830.

Ringgit kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.4079/4120 daripada 3.4145/4156 pada Khamis namun rendah berbanding pound British kepada 5.3584/3645 daripada 5.3539/3551. - Bernama