Anwar mahu berdebat lagi

Anwar semasa program Debat Perdana yang disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.
Anwar semasa program Debat Perdana yang disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan penganjuran debat sebagaimana Debat Perdana sempena kempen Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berpandangan, debat akan datang harus melibatkan isu-isu yang lebih besar.

"Ini (Debat Perdana) seperti mana permulaan kempen pilihan raya.

"Dalam pilihan raya esok patut ada seperti ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai Program Debat Perdana berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini pada Khamis.

Seramai 400 tetamu jemputan terdiri daripada tokoh-tokoh politik, ahli korporat, pakar ekonomi, ahli akademik, mahasiswa dan orang awam hadir menyaksikan debat berkenaan.

Debat Perdana itu menyentuh dua perkara utama iaitu sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd perlu diselamatkan atau sebaliknya; serta isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.