ePassport Malaysia dapat pengiktirafan

Jabatan Imigresen
Jabatan Imigresen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia menerima Anugerah Dokumen Pengenalanan Diri Serantau Terbaik bagi tahun 2018, satu pengiktirafan bagi ePassport Malaysia yang berinovatif dan terulung dalam kelasnya tersendiri.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Pengarah Eksekutif, Datasonic Steven Ng menerima anugerah itu di Hanoi, Vietnam, pada Selasa, semasa Persidangan Pencetakan Keselamatan Tinggi Global Asia 2018, dari 3 hingga 5 Dis, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu bagi pihak Datasonic Group Berhad.

ePassport dibangunkan bersama oleh jabatan itu dan Datasonic Technologies Sdn Bhd, anak syarikat Datasonic.

"Ia merupakan pengiktirafan kepada kecanggihan teknikal luar biasa sesebuah dokumen dan bagi menggalakkan yang terbaik dalam sistem infrastruktur serta pelaksanaan skim pasport kerajaan atau kad pengenalan,” menurut kenyataan itu.

Sebagai negara pertama di dunia yang membangun dan memperkenalkan ePassport pada 1998, versi baharu ePassport Malaysia dilancarkan pada November 2017 telah mempertingkatkan ciri keselamatan, termasuk cip yang tertanam dalam halaman butiran peribadi polikarbonat.

Kedudukan cip baharu ini, berbanding dengan kedudukan sebelum ini di kulit belakang, menyukarkan pemalsuan maklumat dan membolehkan data dibaca dengan lebih mudah. - Bernama

Artikel Berkaitan: