Pasangan kekasih ditahan buang janin di stesen minyak

Polis menahan sepasang kekasih kerana disyaki membuang janin di tandas awam sebuah stesen minyak di Danau Kota, Setapak pada Selasa lalu. - Gambar hiasan
Polis menahan sepasang kekasih kerana disyaki membuang janin di tandas awam sebuah stesen minyak di Danau Kota, Setapak pada Selasa lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan sepasang kekasih kerana disyaki membuang janin di tandas awam sebuah stesen minyak di Danau Kota, Setapak di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kedua-duanya suspek yang merupakan warga tempatan ditahan di pekarangan Hospital Tuanku Azizah Kuala Lumpur pada jam 12.15 tengah malam Rabu.

Menurutnya, lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 27 tahun itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami pendarahan serius," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan pihak polis menemui janin bayi lelaki yang cukup sifat dianggarkan berumur dalam lingkungan enam ke lapan bulan dibuang ke dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di sini.

Pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan daripada orang awam sekitar jam 4.57 petang dan sepasukan pegawai serta anggota telah menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Ashari berkata, suspek direman tiga hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 untuk membantu siasatan.