Bekas pesakit kanser payudara dilantik sebagai Presiden BCWA

Kim Foong
Kim Foong
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas pesakit kanser payudara, Lim Kim Foong dilantik sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) yang baharu berkuat kuasa 26 Mac lalu.

BCWA dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan tersebut adalah bagi tempoh dua tahun dan berakhir Mac 2024.

"Sebagai seorang bekas pesakit kanser payudara, Kim Foong merupakan seorang ahli aktif BCWA dan kerap berkongsi pengalaman serta menghulurkan sokongan serta bantuan kepada komuniti kanser payudara di Malaysia.

"Sebelum menyertai BCWA, Kim Foong telah membina kerjaya dengan syarikat multi nasional dan dengan pengalaman luas dalam kepimpinan serta semangat juang yang tinggi, beliau berhasrat untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat tempatan," menurut kenyataan tersebut pada Khamis.

BCWA memaklumkan, Kim Foong kini sedang melanjutkan pelajaran lepasan ijazah dalam bidang perniagaan antarabangsa.

Sementara itu Kim Foong berkata, matlamatnya menerajui persatuan tersebut adalah untuk memberi sokongan emosi, sosial dan material kepada komuniti kanser payudara di Malaysia.

"Di BCWA, kami memahami bahawa diagnosis kanser payudara boleh menjadi sesuatu yang mencabar dari segi emosi dan fizikal, namun pesakit tidak perlu mengharungi cabaran ini seorang diri.

"Terdapat pelbagai jenis sokongan selain daripada rawatan yang boleh membantu pesakit hidup bahagia menerusi program bersama pesakit kanser payudara lain. Ini membantu dalam memberikan galakan dan sokongan emosi.

"Sebagai sebuah komuniti pemimpin, penyedia penjagaan kesihatan dan peniaga profesional, kami berusaha untuk memastikan kehidupan selepas diagnosis kanser payudara boleh dijalani setiap pesakit, termasuk untuk diagnosis metastatik," katanya.