Anggota polis didakwa tiga tuduhan terima rasuah

Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas sebutan kes rasuah terhadapnya selesai dibacakan pada Khamis.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas sebutan kes rasuah terhadapnya selesai dibacakan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat koperal dari Balai Polis Kuala Bera, Bera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Wahab Musa, 57, didakwa menerima suapan sebagai dorongan untuk tidak menangkap anak lelaki itu yang memiliki sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer dan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas di Bahagian Operasi Cegah Jenayah Balai Polis Kuala Bera menerima suapan RM2,000 daripada lelaki berkenaan di dua lokasi berasingan antara Mei hingga September 2021.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh menerima suapan RM1,000 daripada lelaki itu di Balai Polis Kuala Bera pada 19 Mei manakala tuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan RM500 daripada lelaki sama di sebuah rumah rakit di Kampung Bukit Serdang, Kuala Bera pada 2 Jun tahun lalu.

Tertuduh turut didakwa menerima RM500 daripada lelaki itu pada 5 September 2021, juga di rumah rakit di Kampung Bukit Serdang, Kuala Bera.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang paling tinggi.

Atas pengakuan tidak bersalah tertuduh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan kerana mempunyai ramai tanggungan dan bergantung kepada pendapatan bersih kira-kira RM1,900 sebulan.

Mengambil kira rayuan tertuduh, Ahmad Zamzani membenarkan wang jaminan itu dikurangkan kepada RM7,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula pada bulan ini hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 14 Jun depan untuk tertuduh melantik peguam.