JDT raih tiga mata

Penyerang JDT, Fernando Forestier menjaringkan gol pada saat-saat akhir bagi menjamin kemenangan ketika berdepan Negeri Sembilan FC. - Foto FB Johor Southern Tigers
Penyerang JDT, Fernando Forestier menjaringkan gol pada saat-saat akhir bagi menjamin kemenangan ketika berdepan Negeri Sembilan FC. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

JOHOR Darul Ta’zim (JDT), meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0 pada aksi dua pasukan teratas Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Gol saat-saat terakhir masa kecederaan oleh Fernando Forestieri itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad Hoben Jang Hoben itu setelah mengharungi lapan perlawanan setakat ini.

Kedua-dua pasukan dilihat bermula baik sejak wisel permulaan dengan mengasak ke gawang lawan masing-masing dalam usaha membuka jaringan.

Bagaimanapun, kesemua asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat semakin menggandakan asakan dalam usaha menjaringkan gol.

Namun ketika perlawanan seolah-olah berakhir dengan keputusan seri, Forestieri bijak mencuri peluang untuk merembat cantik bagi menewaskan penjaga gol Ahmad Syihan Azmi Mohamed bagi mengesahkan kemenangan skuad Harimau Selatan itu.