Manchester City sambar Haaland

HAALAND
HAALAND
A
A
A

PENYANDANG juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City akhirnya merekrut Erling Haaland daripada gergasi Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund, sekali gus melaung amaran keseriusan The Citizens dalam mencabar kejuaraan musim depan.

“Manchester City sukacita mengesahkan sudah mencapai persetujuan dengan Borussia Dortmund untuk perpindahan penyerang Erling Haaland ke Stadium Etihad pada 1 Julai 2022. Perpindahan itu tertakluk kepada syarat terakhir ditetapkan bersama pemain,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Penyerang Norway itu menyerlah bersama-sama Dortmund apabila meledak 85 gol dalam 88 penampilan selepas menyertai Die Borussen daripada kelab liga Austria, Red Bull (RB) Salzburg pada Januari 2020.

Pemain berusia 21 tahun itu akan berhijrah ke Etihad selepas pendahulu liga tersebut bersetuju dengan bayaran dilaporkan bernilai 60 juta euro (RM277 juta).

Skuad kendalian Pep Guardiola itu masih belum menemui pengganti penjaring gol sepanjang zaman Manchester City, Sergio Aguero yang menyarung jersi The Citizens daripada Atlético de Madrid pada 2011 sebelum menyahut cabaran bersama-sama Barcelona pada tahun lalu.