PH jatuh bukan ditolak rakyat: Saifuddin

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan Pakatan Harapan (PH) jatuh bukan disebabkan ditolak oleh rakyat.

Sebaliknya beliau menjelaskan, kejatuhan itu disebabkan tindakan ahli Parlimen yang mengkhianati parti.

“Pada Februari 2020 kerajaan PH jatuh kerana mungkir janji dan pengkhianatan (oleh ahli Parlimen). Rakyat yang menyokong menjadi kecewa dan keliru. Penyokong-penyokong parti dan PH juga menjadi marah.

“PH tidak jatuh melalui rakyat tolak, sebaliknya sejumlah ahli Parlimen khianat dan meninggalkan parti. Pada ketika itu kedudukan PH dan blok pembangkang berjumlah 109 bererti kurang tiga sahaja kedudukan untuk membentuk majoriti mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Debat ini menjadi pentas untuk menguji kredibiliti kedua-dua calon berkenaan dalam mengemukakan hujah berkenaan isu semasa dan soal masa depan PKR.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, selepas kejatuhan kerajaan ketika itu, PH yang baru dua tahun menerajui negara mengambil pelbagai pendekatan supaya dapat meneruskan kuasa.

“Kita baru menjadi kerajaan selama dua tahun. Tempoh (matang) kerajaan itu (sepatutnya) lima tahun.

“Mood rakyat ketika itu sukar untuk menerima kita mengusahakan untuk mendapat sejumlah sokongan. Bukan satu kerja yang mudah setelah kita usahakan untuk mendapat balik kuasa politik,” katanya.